115 Pemberontak Syiah Houthi Terbunuh dalam Serangan Udara

Rusydan Yusup | 3 November 2021, 9.04 PM

YAMAN - Tentera Perikatan yang diketuai Arab Saudi mengumumkan pada hari Selasa bahawa sekurang-kurangnya 115 pemberontak Syiah Houthi terbunuh dalam serangan udara yang diketuai Arab Saudi di kawasan tengah Yaman dalam tempoh 24 jam yang lalu,.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi Saudi, SPA, pakatan tersebut berkata bahawa mereka menjalankan 26 operasi mensasarkan kenderaan dan aset Syiah Houthi di kawasan Al-Jubah dan Al-Kasarah di wilayah Marib.

“Operasi itu memusnahkan 14 kenderaan bersenjata dan membunuh 115 pengganas,” kata pakatan tersebut.

Manakala jurucakap pemberontak Syiah Houthi, Yahya Saree berkata bahawa operasi ketenteraan yang dilakukan di daerah Al-Jubah dan Jabal Murad mengakibatkan kematian dan kecederaan 750 musuh askar upahan.

Saree juga mendakwa mereka telah berjaya merampas sekurang-kurangnya 100 kilometer persegi keluasan di semua daerah kecuali Al-Wadi dan pusat bandar.

"Kami melancarkan 47 peluru berpandu mensasarkan pihak musuh, termasuk 31 di Yaman dan 16 di Arab Saudi," kata Saree. Beliau memaklumkan juga bahawa dron Houthi dilancarkan dalam 141 operasi, 128 di Yaman dan 13 di wilayah Saudi.

Tiada respon balas daripada pihak Arab Saudi mengenai kenyataan Houthi tersebut.

Yaman telah dilanda keganasan dan ketidakstabilan sejak 2014 apabila pemberontak Syiah Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu, termasuk ibu negara, Sana'a.

Gabungan tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi didakwa bertujuan mengembalikan semula kerajaan Yaman. Namun apa yang terjadi di Yaman ketika ini adalah salah satu krisis kemanusiaan buatan manusia yang paling teruk di dunia dimana 233,000 orang terbunuh, manakala hampir 80 peratus, atau kira-kira 30 juta rakyat memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan, dan lebih daripada 13 juta dalam bahaya kebuluran menurut rekod yang dikeluarkan oleh PBB. - MEMO

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin