4 Penduduk Palestin Maut Dalam Serbuan Tentera Israel

TEBING BARAT - Sekurang-kurangnya empat lelaki warga Palestin ditembak mati dalam pertempuran dengan tentera Israel di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

 

Saleh Mohammed Ammar, 19, dan Raed Ziad Abu Seif, 21, ditembak pada hari Isnin dan meninggal dunia akibat luka mereka sejurus tiba di hospital bandar Jenin, menurut sumber di pusat kesihatan itu.

 

Jenazah dua lelaki lain, seorang dikenali sebagai Noor Jarrar dan yang lain sebagai Amjad Iyad Azmi, diambil oleh pasukan Israel, kata sumber. Kematian tersebut disahkan oleh Gabenor wilayah Jenin.

 

Sekurang-kurangnya dua orang Palestin yang lain juga ditangkap. Seorang ditembak di tangan dan seorang lagi dikenali sebagai Mohammed Abu Zina, ditahan ketika rumahnya diserbu.

 

Sementara itu, proses pengebumian telah dimulakan bagi mangsa-mangsa yang terbunuh di kem pelarian Jenin.

 

Para saksi mengatakan bahawa pertempuran tersebut berlaku di antara warga Palestin dengan unit Musta'ribeen  Israel - sebuah unit penyamar yang terdiri daripada warga Israel yang menyamar sebagai warga Palestin.

 

Ejen-ejen unit tersebut biasanya berada di kawasan Palestin dengan tujuan untuk menangkap mereka. Agensi Maan News melaporkan ejen tersebut berada di kem pelarian Jenin beberapa jam sebelum pasukan Israel menyerbu kawasan itu.

 

Menurut Maan, ejen Musta'ribeen tiba-tiba melepaskan tembakan kepada sekumpulan pemuda Palestin ketika tentera Israel menyerbu kem tersebut.

 

Bom tangan dan gas pemedih mata juga dilepaskan ke atas rakyat Palestin, kata saksi.

 

Polis Israel dalam satu kenyataan menjelaskan tentera Israel menembak "penyerang" setelah rakyat Palestin melepaskan tembakan ke arah "pasukan penyamar" tentera Israel.

 

Tiada anggota Israel yang cedera dalam kejadian itu. Mereka dilaporkan dalam misi menahan seorang individu, kata polis.

 

Beberapa minggu kebelakangan ini, berlaku banyak pertempuran antara rejim Israel dan penduduk Palestin di Tebing Barat, terutama di Kem Pelarian Jenin dan kota Beita.

 

Penduduk Palestin di Beita melancarkan demonstrasi berkala terhadap penjajahan Israel dan pengembangan projek penempatan haram mereka, yang sering menimbulkan provokasi. - Al-Jazeera

© All rights reserved 2024, Aman Palestin