FELDA Wilayah Johor Bahru Cakna Isu Palestin

Hajar Atan | 11 November 2021, 12.00 PM

JOHOR BAHRU - Terbaru, Aman Palestin Cawangan Johor yang diwakili oleh Encik Norul Ahmady bin Abdul Rahman telah menerima sumbangan berbentuk cek daripada FELDA Wilayah Johor Bahru berjumlah RM107,572.00. Majlis Kunjungan Hormat tersebut berlangsung pada 2 November 2021 bertempat di Pejabat FELDA Wilayah Johor Bahru.

Ekoran daripada berlakunya serangan di Gaza baru-baru ini, warga FELDA Wilayah Johor Bahru telah melancarkan Tabung Palestin bagi membantu penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan tersebut.

Pengurusan FELDA Wilayah Johor Bahru, dengan kerjasama Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Pengurusan Wilayah iaitu Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dan Kami Anak FELDA (KAF) telah melancarkan kutipan bagi tabung berkenaan bermula pada bulan Jun 2021.

Semasa penyerahan sumbangan tersebut, turut hadir Pengarah Wilayah, FELDA Wilayah Johor Bahru, Encik Muhammad Zuwairi bin Amin, Timbalan Pengarah Wilayah, FELDA Wilayah Johor Bahru, Encik Mohd Ardi bin Baharom, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Johor Bahru, Encik Samsuddin bin Othman dan Pengerusi Gabungan GPW, FELDA Wilayah Johor Bahru, Puan Sariah Binti Hashim.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak FELDA Wilayah Johor Bahru atas peduli dan prihatin terhadap isu Palestin. Aman Palestin Berhad amat menghargai kerjasama ini dan semoga ianya menjadi penguat semangat demi perjuangan membebaskan Palestin.

© All rights reserved 2024, Aman Palestin