Hamas Puji Respon Balas Penduduk Kafr Qasim Terhadap Lawatan Ben Gvir

Rusydan Yusup | 6 Oktober 2021, 10.47 PM

 

KAFR QASIM - Hamas memuji respon balas penduduk Kafr Qasim terhadap kedatangan pelampau Yahudi dari kumpulan Agamawan Zionis, Ben Gvir ke kawasan tersebut. 

Itamar Ben Gvir bersama-sama sekumpulan pendatang haram Yahudi melakukan lawatan dengan niat melakukan provokasi di kawasan tersebut. Turut bersama mereka ahli parlimen Israel dari Parti Likud, May Golan. Mereka bagaimanapun mendakwa kedatangan mereka hanya untuk menunjukkan solidariti kepada polis Israel yang diserang penduduk tempatan minggu lepas.

Penduduk Kafr Qasim memberikan respon dengan mengadakan protes terhadap lawatan tersebut dan melaungkan kata-kata ejekan dan kutukan terhadap mereka.

Dalam satu kenyataan media, jurucakap Hamas, Abdel Latif al-Qanoua, menganggap bahawa respon balas penduduk Kafr Qasim terhadap lawatan pelampau Yahudi, Ben Gvir tersebut sebagai ketulenan jati diri mereka, kesetiaan terhadap identiti Palestin, dan semangat berterusan yang mereka perjuangkan berikutan dasar perkauman rejim Israel. 

Beliau menambah: "Rakyat Palestin yang berada dalam zon penguasaan penuh rejim Israel memperlihatkan contoh yang terbaik dalam menghadapi penjajahan haram Zionis dan dasar perkaumannya, serta menggagalkan semua usaha Israel bagi menghilangkan rakyat Palestin dari identiti mereka.” - Shehab News / The TImes of Israel

© All rights reserved 2024, Aman Palestin