Hamas Puji Tindakan Kesatuan Afrika Menangguhkan Keputusan Mengiktiraf Israel

Rusydan Yusup | 19 Oktober 2021, 10.26 PM

PALESTIN - Dr. Bassem Naim, pemegang portfolio hubungan antarabangsa Hamas, menganggap keputusan Majlis Eksekutif Kesatuan Afrika untuk menangguhkan keputusan bagi menerima negara haram Israel sebagai anggota pemerhati kesatuan, ke sidang kemuncak presiden berikutnya pada bulan Februari 2022, adalah langkah yang tepat. 

Beliau  menekankan bahawa penolakan pengiktirafan ini muncul hasil usaha dan sikap bertanggungjawab negara-negara yang menyokong  rakyat Palestin.

Naim juga menegaskan hasrat Kesatuan Afrika (AU) menolak penyertaan entiti rasis tersebut ke dalam kesatuan itu sejajar dengan sejarah benua tersebut yang menyaksikan perjuangan mereka menentang penjajahan dan perkauman serta sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan.

Naim juga meminta Pihak Berkuasa Palestin untuk memperhebatkan usaha diplomatiknya bagi menghalang  rejim Israel daripada bergabung dengan AU serta menjalankan usaha membangunkan solidariti negara-negara Afrika dengan rakyat Palestin.

Israel berusaha sedaya upaya untuk bergabung dengan blok-blok wilayah dunia, walaupun sekadar mendapat status pemerhati, seperti yang cuba dilakukan dengan Kesatuan Afrika. Mereka juga telah berjaya mendapatkan status sebagai negara sekutu bagi Kesatuan Eropah. Rejim Israel sebenarnya cuba mengabsahkan kewujudan mereka di mata dunia sebagai sebuah negara yang sah. 

Penting untuk diingati bahawa Israel merupakan negara penjajah yang menindas penduduk pribumi, termasuk warga negaranya sendiri, dan membuat rakyat Palestin di Tebing Barat termasuk Baitul Maqdis dan Genting Gaza menjadi sasaran kezaliman mereka. Objektif mereka untuk bergabung dalam blok-blok  wilayah dunia bersifat agresif dan eksploitatif. Usaha memperjuangkan Palestin dan aktivisme solidariti perlu mengetengahkan fakta ini.

Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah mengaku bahawa mereka menegakkan hak asasi manusia dan undang-undang serta konvensyen antarabangsa. Manakala rejim Israel melakukan sebaliknya. Ia tidak memiliki tempat di blok-blok tersebut kerana mereka merupakan penjenayah antarabangsa yang konsisten melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. - MEMO / HAMAS

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin