Hamas: Serang Penduduk Baitul Maqdis Bukti Rejim Israel Lemah dan Gagal

Ibrahim Azran | 21 Oktober 2021

BAITUL MAQDIS - Serangan rejim Israel terhadap penduduk Baitul Maqdis di pintu Al-Amud, Masjid Al-Aqsa adalah bukti penjajah Israel lemah dan gagal berhadapan dengan dengan keteguhan rakyat Palestin dan kekuatan perlindungan umat Islam di Masjid Al-Aqsa, kata jurucakap Hamas di Baitul Maqdis, Muhammad Hamada.

Dalam satu kenyataan media, Hamada menegaskan bahawa serangan Israel terhadap rakyat Palestin yang menyambut Maulidur Rasul di pintu Al-Amud adalah kerana kemarahan mereka terhadap kesatuan rakyat untuk melindungi Masjid Al-Aqsa. Semua pintu gerbang, perkarangan dan tembok-tembok Masjid Al-Aqsa adalah hak milik eksklusif umat Islam, kata beliau.

Hamada menyampaikan salam kepada umat Islam di Masjid Al-Aqsa yang menyambut Maulidur Rasul. Beliau berkata, "Kita berjanji setia kepada Rasulullah SAW bahawa tempat Isra' Rasulullah ini akan kekal bermaruah dan mulia tanpa dihina dan dicemari oleh pendatang haram Yahudi dengan khayalan Haikal Sulaiman mereka”.

Rejim Israel menunjukkan wajah sebenar mereka dengan mencabuli hak umat Islam Palestin dan melanggar semua perjanjian antarabangsa dan hak asasi manusia terutamanya hak kanak-kanak.

Hamas menyeru rakyat Palestin untuk terus mengekalkan kesatuan dan perlindungan ke atas Masjid Al-Aqsa serta menghalang Israel daripada menjayakan rancangan jahat mereka untuk membahagi-bahagikan kawasan Masjid Al-Aqsa.

Hamas juga menuntut supaya negara-negara Arab dan Islam untuk bersatu padu untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa bersempena Maulidur Rasul kerana melindungi tempat Isra' Rasulullah SAW adalah satu kewajipan dalam Islam. - Shehab Agency

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin