Israel Halang Barangan Komersial Masuk Gaza

GAZA - Rejim Israel terus menghalang 34 barangan komersial dari dibawa masuk ke Genting Gaza untuk tujuan kelangsungan kehidupan dan ekonomi rakyat Palestin di Gaza. Agensi Berita Quds News Network melaporkan bahawa pada Khamis, 5 Ogos yang lalu Israel bersetuju melepaskan kemasukan barangan komersial tersebut tetapi kali ini bertindak bertentangan dengan keputusan tersebut.

 

Di antara barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Gaza adalah alat-alat muzik, telefon pintar, komputer, mesin pencetak, fon kepala, peralatan audio, aksesori komputer, kamera beserta aksesori kamera, kamera litar tertutup, permainan elektronik kanak-kanak dan lain-lain.

 

Rejim Israel pada Khamis lalu mengumumkan bahawa mereka akan membenarkan aktiviti eksport dan import sejumlah barangan komersial Gaza. Malangnya, sekatan yang dikenakan semalam dipercayai berikutan pertempuran yang berlaku pada Sabtu, 7 Ogos lalu yang melibatkan serangan pesawat Israel ke atas bangunan pentadbiran awam di timur Jabalia dan tanah pertanian di utara Semenanjung Gaza. Dalam kejadian tersebut, berlaku tembakan ke arah pesawat Israel tersebut dipercayai dilepaskan oleh kumpulan pejuang Palestin.

 

Rejim Israel bertindak menghalang kemasukan barangan komersial ini dengan menutup laluan Karim Abu Salim yang merupakan satu-satunya laluan ekonomi Semenanjung Gaza sekali gus memburukkan lagi kehidupan dan ekonomi rakyat Palestin di Gaza.

 

Untuk rekod, laluan masuk Karim Abu Salim ditutup sepenuhnya sejak 10 Mei 2021, kemudian dibuka semula sebahagian rentetan gencatan senjata Hamas-Israel pada 21 Mei 2021.

 

Ibrahim Azran

10 Ogos 2021, 7.50 pagi

© All rights reserved 2024, Aman Palestin