Israel Lancar Sistem Pengesan Wajah Untuk Kawal Rakyat Palestin

Faris Zalani | 9 November 2021, 03.35 PM

TEBING BARAT – Rejim Israel telah bersedia untuk melancarkan program alat mengesan muka setiap individu rakyat Palestin di Tebing Barat yang akan digunakan untuk memantau setiap aktiviti rakyat Palestin. Mereka dikatakan sedang berkempen supaya rakyat Palestin ditangkap gambar mereka dan direkodkan untuk simpanan data mereka.

Siasatan oleh agensi berita Washington Post yang telah dikeluarkan pada hari Isnin  telah mendedahkan bahawa sejak dua tahun lepas lagi Israel telah membangunkan sistem program telefon bimbit yang mengesan muka individu. Sistem tersebut dinamakan dengan Blue Wolf dan berfungsi untuk mengesan muka rakyat Palestin dan memasukkan maklumat mereka kedalam sistem pangkalan data maklumat. Sistem tersebut akan memberikan amaran kepada tentera Israel jika individu tersebut melakukan perkara yang melanggar protokol kerajaan haram Israel.

Laporan agensi berita terbabit adalah bergantung kepada testimoni tentera Israel dan pendedahan maklumat daripada organisasi veteran tentera Israel iaitu Breaking the Silence. Organisasi terbabit banyak mendedahkan salah laku tentera Israel keatas rakyat awam Palestin.

Laporan tersebut juga mengatakan, tentera Israel menggunakan sistem teknologi tersebut di sekatan-sekatan tentera sekitar Hebron. Menurut bekas tentera Israel, kamera yang dipasang pada telefon bimbit tersebut merupakan sebahagian daripada rangkaian kamera pengawasan (CCTV) yang dikenali sebagai Hebron Smart City dan mampu mengesan pergerakan penduduk Palestin hingga ke rumah mereka.

Rangkaian pengawasan kamera tertutup tersebut juga merangkumi sistem  teknologi yang dikenali sebagai White Wolf yang telah ditutup akibat pendedahan oleh pihak media. Sistem tersebut dahulunya mampu mengesan dan memberikan maklumat rakyat Palestin yang memasuki kawasan Israel semasa mereka keluar bekerja. - Quds News Network

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin