Koyak Laporan UNHRC: Hamas Gesa Duta Israel Dihukum

Rusydan Yusup | 1 November 2021, 9.39 PM

PALESTIN - Jurucakap Hamas Dr Abdullatif Al-Qanoa berkata bahawa Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti bertanggungjawab atas tindakannya mengoyak kertas laporan tahunan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC).

Duta Israel tersebut, Gilad Erdan mengoyak laporan tahunan UNHRC di Perhimpunan Agung PBB yang diadakan di New York  Jumaat lalu. Tindakan tersebut dilakukan sejurus ucapan penuh emosi beliau yang tidak berpuas hati dengan laporan tersebut. Beliau menuduh laporan tersebut sebagai berat sebelah dan anti-semitik.

Laporan yang dikeluarkan badan PBB itu mengutuk dasar pembinaan penempatan haram  Israel di Tebing Barat. Jurucakap Hamas, Al-Qanoa berkata, "pembinaan tembok oleh rejim Israel, di kawasan Palestin yang dijajah, termasuk di dalam dan di sekitar Timur Baitul Maqdis adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa”. 

Beliau turut menyifatkan tingkah laku Duta Israel di Perhimpunan Agung PBB sebagai bongkak.

“Dunia mesti menghentikan dasar tidak adil ini, dan menghalang penjajahan Israel,” kata Al-Qanoa.

Al-Qanoa menyatakan bahawa laporan UNHRC mengesahkan bahawa PBB harus menyiasat jenayah Israel yang dilakukan semasa serangan terbaru Israel terhadap Gaza Mei lalu. “Ini sepatutnya menjadi satu langkah untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab terhadap tindakan mereka”. - Hamas / Albawaba / The Jerusalem Post

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin