Krisis Yaman: 11 Kematian dan 45 Kecederaan Dalam Tempoh 72 Jam

Rusydan Yusup | 4 Oktober 2021, 9.30 PM

YAMAN -  56 rakyat Yaman menjadi mangsa dalam peningkatan konflik yang berlaku antara pihak kerajaan dan Syiah Houthi.

Jumlah mangsa yang terlibat menyaksikan tiga kanak-kanak dan lapan orang dewasa dilaporkan terbunuh dan sekurang-kurangnya 45 orang lain cedera dalam tempoh tiga hari yang lalu dalam konflik yang semakin meningkat di seluruh Yaman.

Di bandar Marib, yang terletak di tengah Yaman pada hari Ahad baru-baru ini, dua kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan peluru berpandu dan 24 orang, termasuk dua kanak-kanak yang lain cedera.

Serangan ini merupakan rentetan pertempuran pada hari Jumaat di kota Sa'ada di utara Yaman, di mana lima orang awam terbunuh dan 11 yang lain cedera. Pada hari Sabtu pula di bandar Aden selatan, empat orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, kehilangan nyawa dan sekurang-kurangnya 10 yang lain cedera.

Pertempuran yang memuncak beberapa minggu ini berpunca dari kejatuhan ekonomi dan keadaan perkhidmatan awam yang merosot mendorong rusuhan yang meluas. Konflik di Yaman yang sekarang telah masuk tahun ketujuh, menyaksikan ratusan ribu rakyat Yaman terperangkap di tengah-tengah konflik dan rusuhan yang merbahaya.

Pengarah Save the Children's Country untuk negara Yaman, Xavier Joubert berkata dalam hanya 72 jam sahaja, 56 mangsa dilaporkan, termasuk melibatkan 11 antaranya ialah kematian. Lebih mendukacitakan tiga kanak-kanak yang tidak bersalah adalah antara yang terkorban. Hampir setiap hari kita mendengar kanak-kanak dan keluarga terperangkap dalam pertempuran, yang akhirnya mengorbankan nyawa mereka.

Beliau turut menambah bahawa anak-anak kecil di Yaman sangat berisiko mati atau cedera sekiranya mereka berada di luar rumah lalu terperangkap di tengah-tengah tembakan dan pengeboman yang kerap berlaku di kawasan-kawasan  yang sepatutnya merupakan kawasan selamat bagi mereka, iaitu rumah, sekolah, hospital, dan pasar.

Beliau juga menyatakan terlalu ramai yang telah menyaksikan kematian insan tersayang di hadapan mata mereka. Inilah realiti tragis bagi berjuta-juta kanak-kanak yang sedang bertahan dalam krisis kemanusiaan yang terburuk di dunia. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau telah menyaksikan semakin meningkat  pertempuran dan rusuhan yang menjejaskan keperluan kemanusiaan orang awam.

Save the Children menyeru pihak-pihak yang berperang agar menghormati Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dan mengambil semua langkah yang mencukupi bagi melindungi orang awam dan binaan awam ketika tempoh konflik. - Relief Web

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin