Mahkamah Israel Beri Yahudi Hak Ceroboh, Ritual Secara Senyap Dalam Masjid Al-Aqsa

Ibrahim Azran | 7 Oktober 2021, 12.47 AM

PALESTIN - Mahkamah rejim Israel buat pertama kalinya memberikan hak kepada pendatang haram Yahudi untuk menceroboh dan melakukan ritual secara senyap dalam Masjid Al-Aqsa pada Rabu lepas, sekaligus mencemarkan kesucian kiblat pertama umat Islam itu.

Mahkamah rejim menyatakan bahawa kehadiran pendatang haram Yahudi ke ‘Haikal Sulaiman’ itu bukan satu tindakan jenayah selagi mereka melakukan ritual Yahudi secara senyap.

Baru-baru ini pendatang haram Yahudi melakukan ritual secara senyap tanpa membuat bising dibiarkan oleh polis rejim Israel bahkan umat Islam yang lain diusir dari masjid itu.

Peguam Israel, Moshe Polsky menyambut baik keputusan mahkamah rejim itu. “Kami sambut baik keputusan mahkamah yang menegakkan hak sebenar ‘Haikal Sulaiman’ sejak setahun perbicaraan berlangsung, dan ini adalah keputusan tuntas bagi pendatang haram Yahudi yang sentiasa mengunjungi ‘Haikal Sulaiman’ dan mahu melakukan ritual”, katanya.

“Perbuatan menghalang pendatang haram Yahudi untuk melakukan ritual secara senyap adalah tidak masuk akal sedangkan orang Islam dibenarkan untuk beribadah, membuat ceramah agama, bermain bola sepak bahkan merusuh,” menurutnya.

Katanya lagi, “Walaupun polis tidak mencegah orang Islam dalam hal ini, tetapi orang Yahudi dibuat seperti pendatang asing di ‘tempat suci Yahudi’ ini. Kami berharap mulai sekarang polis tidak lagi menghalang orang Yahudi masuk ke sini dan melakukan ritual secara senyap.”

Untuk rekod, pendatang haram Yahudi menceroboh masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa hampir setiap hari sebanyak dua kali iaitu pada waktu pagi dan Zuhur melalui pintu gerbang Mugharibah di tembok barat masjid itu sambil diiringi polis rejim Israel. - Shehab Agency

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin