Mahkamah Israel Bicara Kes Tahanan Lolos Dari Penjara

Nawwar Hannan | 8 November 2021, 06.32 PM

PALESTIN - Enam orang tahanan rakyat Palestin yang berjaya meloloskan diri daripada penjara Gilboa, Israel melalui terowong yang digali menggunakan sudu mula dibicarakan hari ini di mahkamah. 

Mereka yang digelar ‘Hero Terowong Kebebasan’ oleh rakyat Palestin ini dibicarakan bersama lima orang tahanan lain yang dituduh membantu mereka meloloskan diri daripada penjara. 

Susulan daripada itu, kesemua tahanan ini yang berjumlah 11 orang bakal disabitkan hukuman penjara dengan tambahan tujuh tahun dari tempoh sedia ada kerana telah melanggar hak keamanan dan keselamatan orang ramai.

Mereka akan menjalani hukuman tersebut berkuatkuasa hari ini setelah perbicaraan ditamatkan tadi.

Sebelum ini Israel dikejutkan dengan berita 6 tahanan berjaya meloloskan diri daripada penjara hanya menggunakan sudu walaupun penjara mereka diiktiraf antara penjara yang paling selamat di dunia. Namun, selepas itu mereka telah berjaya dikesan dan ditahan semula oleh rejim Israel. - Shehab News

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin