Mogok Lapar Diteruskan Tahanan Palestin

Rusydan Yusup | 15 Ogos 2021, 9.31 PM

 

RAMALLAH, Ahad, 15 Ogos 2021 - Sebanyak 10 tahanan Palestin dalam penjara Israel meneruskan  mogok lapar sebagai protes penahanan mereka yang dilakukan secara tidak adil tanpa sebarang tuduhan atau perbicaraan, menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS).

 

Antara tahanan yang terlibat adalah Mohammad A'mar, Mujahed Hamed, Kayed Fasfous, Ra'fat Darawish dan Muqdad Qawasmeh yang telah melaksanakan mogok lapar selama 33, 33, 32, 32 dan 25 hari berturut-turut. Tahanan yang melancarkan mogok lapar paling lama adalah Salem Ziadat, 40 tahun, yang telah mogok lapar selama 35 hari.

 

Para tahanan yang terlibat dengan mogok menghadapi isu kesihatan yang kian merosot ekoran kedegilan rejim Israel mendengar permintaan mereka.

 

Rejim negara haram Israel mengamalkan polisi penahanan rakyat Palestin tanpa memerlukan kepada pertuduhan dan perbicaraan. Mereka juga boleh memanjangkan tempoh penahanan sehingga 3 ke 6 bulan berdasarkan bukti yang tidak dinyatakan. Terdapat laporan mengatakan pihak peguam tahanan juga dihalang daripada bertemu anak guam mereka.

 

Sehingga kini, sekitar 540 rakyat Palestin ditahan oleh rejim Israel melalui polisi zalim ini yang tidak diakui oleh undang-undang antarabangsa. Kebanyakan tahanan merupakan bekas tahanan yang pernah ditahan sebelum ini kerana berjuang mempertahankan Palestin.

 

Kuasa besar dunia tidak boleh membutakan mata dan mengabaikan kekejaman yang dilakukan ini. Pihak yang memperjuangkan Hak Asasi Manusia juga diharap tidak memilih isu dan menjadikan isu kekejaman rejim Israel ini sebagai keutamaan mereka.

© All rights reserved 2024, Aman Palestin