Parti Demokrat Desak Biden Tekan Israel, Henti Kepungan Gaza

Ibrahim Azran | 21 Ogos 2021, 12.50 PM

WASHINGTON - Ahli Parlimen Parti Demokrat dalam Kongres Amerika Syarikat mendesak kepimpinan Presiden AS, Joe Biden untuk menekan Israel menghentikan kepungan di Genting Gaza, membuka sekatan perjalanan dan membenarkan kemasukan bantuan.

53 wakil parti tersebut menandatangani petisyen yang mengecam penjajahan Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza dan sekatan kemasukan bantuan asas kemanusiaan.

Dalam petisyen itu, mereka menegaskan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza tidak boleh dibendung, maka bantuan kemanusiaan perlu disampaikan segera kepada 2.1 juta rakyat palestin di Gaza.

Anggota Kongres, Mark Buchan dan Debbie Dingell menyatakan bahawa perubahan harus dibuat untuk menangani krisis kemanusiaan yang telah berlarutan sejak tiga bulan serangan Israel berlaku.

Tambahnya, “Serangan udara Israel terhadap Gaza semakin memburukkan lagi kehidupan rakyat Palestin di sana. Jumlah kerosakan dianggarkan sebanyak USD380 juta. Sebanyak USD485 juta bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula diperlukan buat masa ini.”

Mereka turut mengecam tindakan Israel yang menghadkan keluasan zon penangkapan ikan di Gaza yang hanya seluas enam batu nautika.

Pada Jun lalu, 73 ahli parlimen AS mendesak Biden untuk menarik semula dasar Pro-Israel negara itu. Pada Mei yang lalu, 25 anggota parti Demokrat menghantar surat kepada Setiausaha AS, Anthony Blinken untuk menekan Israel menghentikan pengusiran paksa penduduk Palestin di Baitulmaqdis yang dijajah.

Mesir menjadi orang tengah gencatan senjata antara Hamas dengan Israel pada 21 Mei yang lalu setelah peperangan berlaruta selama 11 hari.

Penduduk Palestin di Gaza yang lebih 2 juta orang itu menderita dalam kepungan Israel sejak tahun 2006. - Shehab Agency

© All rights reserved 2024, Aman Palestin