Penjara Bolos, Perdana Menteri Israel Adakan Mesyuarat Tergempar

Ahmad Muinuddin | 7 September 2021, 3.30 PM

 

BAITUL MAQDIS - Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett telah mengadakan mesyuarat tergempar semalam berkenaan enam tahanan yang berjaya melarikan diri dari penjara Gilboa, Utara Palestin.

 

Menurut laporan, hadir bersama dalam mesyuarat ialah Menteri Pertahanan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan beberapa kementerian yang lain.

 

Bennett berkata, ”perkara ini adalah satu masalah yang serius dan memerlukan kerja kerja keras daripada semua pihak sekuriti Israel (unutk menyelesaikannya)”.

 

Sehubungan dengan itu, tentera Israel juga telah membuat sekatan-sekatan untuk menangkap semula tahanan yang berjaya melarikan diri tersebut.

 

Enam tahanan itu dipercayai telah berjaya melarikan diri pada 1.30 pagi semalam waktu tempatan. Mereka telah menggali terowong bawah tanah hanya dengan menggunakan sudu untuk melepasi sekuriti dan pagar penjara yang dikawal ketat. 

 

Mereka ialah Mahmoud Abdullah Ardah, Muhammad Qasim Ardah, Yaqoub Mahmoud Qadri, Ayham Nayef Kammaji, Zakaria Zubeidi dan Yaqoub Infaat. Kesemua mereka berasal dari Jenin.

 

Bagi meraikan peristiwa ini, rakyat Palestin telah kelihatan mengedarkan manisan kepada orang sekeliling mereka di beberapa tempat termasuk rakyat Palestin yang tinggal di negara Jordan.

 

Peristiwa ini sangat mengejutkan dunia kerana sistem kawalan Israel yang canggih tidak dapat mengesan rancangan enam tahanan tersebut. Malah penjara Israel dilaporkan antara yang terhebat di dunia. 

 

Perkara ini seharusnya menambah keyakinan bahawa Allah akan sentiasa memberikan jalan kepada hamba-hambanya memperjuangkan agama ini. - Shehab Agency

© All rights reserved 2024, Aman Palestin