Perdana Menteri Yaman Gesa Bantuan Pihak Antarabangsa Elak Krisis Ekonomi

Rusydan Yusup | 2 November 2021, 9.35 PM

YAMAN - Perdana Menteri Yaman, Maeen Abdulmalik, semalam menggesa bantuan segera daripada pihak antarabangsa bagi  mengelakkan kejatuhan ekonomi di negara tersebut. Kenyataan Abdul Malik itu dibuat semasa pertemuannya dengan Duta Besar Britain ke Yaman, Richard Oppenheim.

Menurut Agensi Berita Saba, mesyuarat itu telah membincangkan perkembangan terkini di Yaman serta bantuan antarabangsa yang diperlukan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kehidupan penduduk Yaman.

Semasa pertemuan tersebut, Abdul Malik turut membincangkan cabaran yang dihadapi kerajaan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, kewangan dan perkhidmatan awam. Beliau juga berbincang mengenai program pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan Yaman di seluruh negara.

"Kerajaan Yaman sedang berusaha keras untuk mengurangkan kesan penurunan nilai mata wang tempatan, dan membendung inflasi yang semakin meningkat dan kuasa membeli yang lemah," tegas Abdul Malik.

Beliau mengulangi bahawa sokongan masyarakat antarabangsa sangat diperlukan bagi mencapai kestabilan ekonomi di Yaman.

Riyal Yaman telah menyaksikan kemerosotan mendadak dengan dolar Amerika Syarikat bersamaan hampir 1,400 riyal. Sebelum bermulanya perang Yaman pada tahun 2015, harga purata dolar AS berbanding mata wang tempatan berada pada kadar 215 riyal. - MEMO

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin