Perkukuh Usaha Membantu Palestin Bersama Majlis Bandaraya Kuantan

Miftahul Khair | 14 Januari 2022, 11.00AM

KUANTAN - Pertemuan Aman Palestin dengan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) merupakan satu pertemuan besar yang membawa kepada manfaat yang lebih luas buat penduduk Palestin, Syria dan Yaman. Kunjungan hormat Aman Palestin ke Pejabat Majlis Bandaraya Kuantan hadir dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi usaha memberikan sokongan yang terbaik buat warga Palestin, Syria dan Yaman khususnya daripada warga Kuantan.

Pertemuan tersebut berlangsung pada 13 Januari 2022 di bilik mesyuarat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan dihadiri oleh Setiausaha MBK, YH Dato' Hajah Hamiza Binti Hamzah serta Ustaz Rushdan Abdul Halim, Pengerusi Aman Palestin Pahang dan Puan Farhani Mohd Ghani, Pengurus Aman Palestin Pahang.

Pertemuan tersebut membincangkan mengenai pergerakan NGO dalam mengumpulkan dana kebajikan bagi membantu warga Palestin, Syria dan Yaman serta tidak lupa juga bantuan kecemasan buat warga Malaysia. Dalam masa yang sama, perbincangan ini turut membuka ruang untuk Majlis Bandaraya Kuantan dalam mengetahui projek-projek pembinaan infrastruktur terkini yang dilaksanakan oleh Aman Palestin.

Aman Palestin memberi harapan besar kepada seluruh sektor di Malaysia untuk bersama-sama dalam memberikan sokongan dan bantuan yang terbaik buat penduduk Palestin, Syria dan Yaman.

© All rights reserved 2024, Aman Palestin