Rejim Israel Robohkan Tadika di Baitul Maqdis

Rusydan Yusup | 17 Ogos 2021, 9.35 PM

 

BAITUL MAQDIS - Rejim Israel hari ini merobohkan sebuah tadika di bandar Beit Sfafa, barat daya kota Baitul Maqdis, menurut sumber tempatan.

 

Pasukan Israel mengiringi  jentolak milik majlis perbandaran Baitul Maqdis ke kawasan al-Safeh di bandar tersebut, di mana jentera berat itu merobohkan sebuah tadika milik Mohammad Jum’a.

 

Tadika yang terletak  berdekatan dengan rumah keluarga Jum’a itu dalam persediaan pembukaan bagi permulaan sesi persekolahan yang baru.

 

Dengan menggunakan alasan pembinaan kediaman secara haram, rejim Israel  merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin secara berkala bagi menghalang pengembangan populasi rakyat Palestin.

 

Dalam masa yang  sama, rejim Israel membina puluhan ribu unit perumahan di penempatan haram yang terletak di Baitul Maqdis  Timur untuk pendatang haram Yahudi. Ianya dilakukan dengan  tujuan  mengganggu demografi sedia ada agar bilangan pendatang haram Yahudi lebih ramai daripada rakyat Palestin.

 

Sejak perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1949 di antara Israel dan Jordan, Baitul Maqdis terbahagi kepada dua: Baitulmuqaddis Barat menjadi milik Israel manakala Baitulmuqaddis Timur (Kota Lama) menjadi milik Palestin (dahulunya milik Jordan sebelum negara Palestin mencapai kemerdekaan). Namun Israel telah mengambil alih Baitul Maqdis timur secara haram setelah mereka memenangi peperangan Arab Israel pada tahun 1967 yang juga dikenali sebagai Perang 6 hari.

 

Rakyat Palestin di Baitul Maqdis timur dinafikan hak kewarganegaraan mereka dan hanya diiktiraf sebagai "penduduk" dimana permit mastautin mereka  boleh dicabut sekiranya mereka keluar jauh dari bandar selama lebih dari beberapa tahun.

 

Mereka juga didiskriminasi dalam semua aspek kehidupan termasuk perumahan, pekerjaan dan perkhidmatan, dan tidak mendapat akses perkhidmatan di Tebing Barat berikutan pembangunan tembok pemisah oleh rejim Israel

 

Menurut laporan kumpulan hak asasi manusia Israel B'Tselem, Mahkamah Tinggi Israel bertanggung jawab keatas jenayah perang berikutan dasar mereka yang menyebabkan pelucutan hak rakyat Palestin dari harta benda mereka di Kawasan C di Tebing Barat.

 

Laporan itu turut menunjukkan bahawa mahkamah turut memberi sokongan terhadap dasar pelucutan dan pemindahan rakyat Palestin dari kediaman mereka secara paksa, yang merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa. - Wafa News Agency

© All rights reserved 2024, Aman Palestin