Rundingan Iran dan Arab Saudi: Bakal Tamatkan Krisis Yaman?

Rusydan Yusup | 13 Oktober 2021, 11.00 PM

IRAN - Iran telah meminta Arab Saudi membuka semula kedutaan mereka di negara tersebut bagi menjalinkan kembali hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tersebut sebagai langkah permulaan mengakhiri perang di Yaman.

Ketika kuasa-kuasa besar dunia mendesak agar perjanjian nuklear Iran dihidupkan semula, republik tersebut secara diam-diam mengadakan empat pusingan rundingan yang bertujuan meredakan ketegangan selama bertahun-tahun dengan Arab Saudi. Tumpuan diberikan terhadap Yaman, di mana kedua-dua negara masing-masing memberi sokongan kepada dua pihak yang berperang, di mana Iran memberi sokongan kepada pemberontak Syiah Houthi manakala Arab Saudi memberi sokongan kepada kerajaan Yaman.

Situasi semasa menjadi aspek penting bagi menjayakan usaha perdamaian yang dikendalikan oleh Iraq sebagai orang tengah. Rundingan terakhir antara Arab Saudi dan Iran telah berlangsung pada 21 September yang lalu dan satu lagi rundingan dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.

Arab Saudi turut senada dengan Iran dalam usaha mengakhiri konflik tersebut kerana khuatir akan aset-aset minyak mereka terdedah kepada serangan dron dan peluru berpandu. Dua tahun yang lalu, Abqaiq iaitu kawasan komuniti syarikat minyak Arab Saudi: Saudi Aramco yang turut menempatkan fasiliti minyak Arab Saudi diserang pemberontak Syiah Houthi mengakibatkan separuh kapasiti pengeluaran minyak dari pengeksport terbesar minyak itu terjejas dan menggemparkan pasaran global.

Arab Saudi menginginkan kesepakatan mengenai Yaman menjadi  langkah awal dalam usaha membina kembali hubungan diplomatik yang telah putus pada tahun 2016. Namun Iran telah menegaskan bahawa langkah awal yang perlu diambil ialah menjalankan proses normalisasi.

Iran telah mencadangkan pembukaan semula kedutaan di bandar Iran dan Arab Saudi, iaitu di Mashhad dan di Jeddah, sebagai tanda muhibah. Perbincangan telah berlangsung secara menyeluruh namun menemui kebuntuan apabila percubaan memperincikan perbincangan tersebut menemui kegagalan.

Kementerian luar Iran dan Pusat Komunikasi Antarabangsa Arab Saudi, yang mengendalikan pertanyaan daripada media antarabangsa, tidak terus memberi komen. Pegawai di Iraq, yang menjadi orang tengah dalam rundingan itu juga tidak memberikan sebarang komen.

Cadangan Arab Saudi untuk menghentikan peperangan hanya menarik sedikit minat dari pemberontak Syiah Houthi.  Mereka tidak mempunyai alasan yang kuat untuk mengundurkan diri setelah berjaya mengambil alih beberapa wilayah Yaman, termasuk ibu kota Sanaa.

Ketika Amerika Syarikat berundur dari Timur Tengah, Arab Saudi, iaitu sekutu utama mereka selama beberapa dekad, berusaha memperbaiki hubungan dengan sekutu-sekutu  Iran dalam kalangan negara Arab bagi mengurangkan ketegangan serantau dan untuk menjaga keamanannya sendiri.

Mengenai perjanjian nuklear Iran, walaupun Amerika Syarikat ketika pentadbiran Donald Trump telah menarik diri dari perjanjian tersebut, Iran sebenarnya berada dalam posisi yang lebih baik dari sudut politik. Iran yang mempunyai hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia dan mempunyai proksi-proksi bersenjata, dapat menimbulkan kekacauan di Yaman, Iraq dan Lubnan. Ini menunjukkan bahawa mereka memiliki kekuatan yang kuat dalam sebarang perundingan.

Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian menyebut pada 8 Oktober  bahawa beberapa perjanjian telah berjaya dicapai ketika rundingan berlangsung tetapi tidak memberikan perincian. Menteri Luar Arab Saudi Faisal Bin Farhan Al Saud mengatakan awal bulan ini bahawa perbincangan masih dalam tahap ‘meneroka peluang’, walaupun negaranya berharap dialog tersebut dapat menyelesaikan konflik yang tercetus antara kedua-dua negara terbabit.

Mengulas mengenai perkembangan rundingan antara Arab Saudi dan Iran yang berkemungkinan besar akan mempertaruhkan nasib kerajaan Yaman ketika ini, Perdana Menteri Yaman, Maeen Abdulmalik memberi amaran pada hari Isnin lalu bahawa negara Yaman tidak seharusnya menjadi objek tawar-menawar. Beliau mengatakan pemilihan presiden baru Iran yang lebih tegas menunjukkan tidak akan ada pihak yang menolak pemberian sokongan terhadap pemberontak Syiah Houthi dalam usaha mereka mengambil alih negara tersebut.

Namun, terdapat risiko bahawa proses rundingan akan terjejas sekiranya pemilihan parlimen Iraq minggu ini mengakibatkan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi diganti.

Al-Kadhimi, bekas ketua perisik yang mempunyai hubungan dengan pegawai keselamatan dan politik di kedua-dua belah pihak, dilihat sebagai perantara yang dipercayai. Para diplomat yang terlibat dalam rundingan mengatakan bahawa perkembangan positif setakat ini kebanyakannya disebabkan oleh kredibilitinya dan keinginannya untuk menjadikan Baghdad sebagai jambatan penghubung antara negara-negara Arab Sunni dan Iran.

Moqtada al-Sadr, seorang penggubal undang-undang yang mendapat sokongan ulama Syiah yang berpengaruh, merupakan calon utama dalam pemilihan ahli parlimen di Iraq. Namun keadaan politik Iraq yang tidak stabil memerlukan beberapa minggu atau bahkan berbulan-bulan perbincangan sebelum pemerintah gabungan baru dilantik. - Bloomberg

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin