Serangan Bom di Aden: Sekurang-kurangnya 4 Terbunuh

Rusydan Yusup | 10 Oktober 2021, 9.46 PM

ADEN - Sebuah bom kereta yang mensasarkan konvoi gabenor Aden menggegarkan bandar Aden di selatan Yaman 10 Oktober lalu. Letupan itu membunuh sekurang-kurangnya empat orang mangsa, menurut sumber pihak keselamatan dan tentera.

Gabenor Ahmed Lamlas dan Menteri Pertanian Salem al-Socotri yang kedua-duanya merupakan anggota al-Hirak iaitu Gerakan Pemisah Selatan bagaimanapun terselamat dalam "cubaan pembunuhan oleh pengganas" tersebut.

Sekurang-kurangnya empat tentera dalam konvoi terbunuh menurut sumber pihak keselamatan.

Jurucakap tentera Majlis Peralihan Selatan (MPS) mengatakan sekurang-kurangnya lima orang tercedera termasuk tiga orang awam, di mana salah seorang daripadanya merupakan kanak-kanak.

MPS merupakan organisasi yang lahir daripada Gerakan Pemisah Selatan. Mereka merupakan sekutu kerajaan pemerintah Yaman di bawah gabungan yang dipimpin oleh Arab Saudi dalam memerangi gerakan Houthi yang berpihak kepada Iran.

Riyadh telah membuat perjanjian untuk mengakhiri perebutan kuasa di Yaman, termasuk membentuk kabinet baru yang merangkumi anggota MPS, namun ketegangan tetap belum reda.

Ketidakstabilan di selatan Yaman menyukarkan lagi usaha perdamaian yang dipimpin PBB bagi menamatkan perang di Yaman yang telah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan 80% penduduk bergantung pada sumbangan dan bantuan.

Tentera Perikatan telah campur tangan di Yaman sejak bulan Mac 2015 setelah pihak Houthi menggulingkan pemerintah yang diiktiraf antarabangsa di ibu kota Sanaa.

Pemerintah Yaman berpusat di kawasan selatan sementara pihak Houthi menguasai sebahagian besar wilayah utara. - Reuters

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin