UNICEF: 10 000 Kanak-Kanak Terbunuh atau Cacat Ekoran Krisis di Yaman

Rusydan Yusup | 19 Oktober 2021, 9.16 PM

GENEVA - Sepuluh ribu kanak-kanak Yaman terbunuh atau menjadi cacat sejak tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi masuk campur dalam krisis Yaman pada Mac 2015, setelah kumpulan pemberontak Syiah Houthi yang berpihak kepada Iran menggulingkan kerajaan, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF.

"Konflik di Yaman  telah mencapai tahap yang merisaukan. Sekarang kita mempunyai 10,000 kanak-kanak yang terbunuh atau cacat sejak Mac 2015," kata jurucakap UNICEF, James Elder pada taklimat PBB di Geneva setelah kembali dari lawatan ke Yaman.

"Jumlah itu bersamaan dengan empat kanak-kanak menjadi mangsa setiap hari," kata Elder, sambil menambah bahawa terdapat banyak lagi kematian atau kecederaan kanak-kanak yang tidak dilaporkan.

Empat dari setiap lima kanak-kanak - sejumlah 11 juta - memerlukan bantuan kemanusiaan di Yaman, sementara 400,000 menderita kekurangan zat makanan secara akut (mendadak) dan lebih dari 2 juta kanak-kanak tidak bersekolah, kata Elder.

Usaha yang dipimpin oleh PBB untuk memeterai perjanjian gencatan senjata di seluruh Yaman telah terhenti kerana Arab Saudi dan kumpulan Houthi sama-sama menentang usaha untuk mengakhiri perang yang telah berlanjutan lebih dari enam tahun yang membawa kepada apa yang disebut oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Sumber penduduk dan pegawai tempatan mengatakan bahawa ratusan warga Yaman terperangkap dalam pertempuran sengit antara pihak pemerintah dan pasukan Houthi di wilayah Marib utara yang berlaku baru-baru ini. - Reuters

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin