906 Kes Baru COVID-19, Lima Kematian di Palestin

Mohd Qutaibah Ismail | 23 Ogos 2021, 04.27 PM

906 kes baru COVID-19, lima kematian dan 204 kes pulih telah dilaporkan di Palestin dalam tempoh 24 jam yang lalu, demikian menurut Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaileh.

Dalam laporan hariannya Al-Kaileh mengatakan lima angka kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Semenanjung Gaza, sementara tidak ada kematian yang tercatat di Tebing Barat.

Sebanyak 6,685 ujian COVID-19 telah dijalankan selama 24 jam yang lalu. Di Semenanjung Gaza, 367 ujian didapati positif, sementara di Tebing Barat 539 kes baru dikesan, termasuk 226 kes di daerah utara Nablus.

Seramai 96 orang pesakit COVID-19 dirawat di hospital, sementara 31 yang lain berada dalam rawatan intensif, termasuk enam di ventilator.

Al-Kaileh juga melaporkan kadar pemulihan di Palestin setakat ini mencapai 96.5 peratus, sementara kes aktif meningkat menjadi 2.4 peratus. Kematian pula berjumlah 1.1 peratus daripada jumlah jangkitan.

Mengenai pemberian vaksin, Menteri Kesihatan mengatakan lebih dari 698,000 orang telah menerima vaksin pertama mereka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, dan  437,000 telah mendapat vaksin sepenuhnya. - Wafa News Agency

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin