BERWASPADA DALAM SETIAP USAHA MEMBURUKKAN IMEJ ISLAM

Terbaru, tular satu video yang memaparkan satu klip video raya yang mempromosikan judi dan ia merupakan satu tamparan hebat buat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia. Video tersebut juga dianggap satu perbuatan mempersendakan Islam dan satu percubaan mencemari kemuliaan bulan Ramadan.

 

Pihak berkuasa juga telah mengambil tindakan kepada pengarah dan jurukamera dalam penghasilan video tersebut. Kenyataan juga turut dikeluarkan oleh pelakon utama dalam video tersebut. Dalam satu temuramah yang dilaksanakan oleh Mstar Online, Saifullah Mohd Yunus yang menjadi pelakon utama dalam video tersebut memohon maaf dan tidak berniat untuk menggadaikan maruah dan mencemarkan nama baik Islam.

 

"Saya dan lima orang kawan saya di dalam video tersebut memohon maaf kerana tidak meneliti tawaran yang diberikan", ujar Saifullah dalam temuramahnya bersama Mstar Online. Beliau juga menyatakan bahawa penerangan daripada pihak produksi juga tidak menerangkan dengan jelas skrip dan perjalanan penggambaran bagi MV (Music Video) tersebut.

 

Beliau sempat menasihatkan kepada mereka yang terlibat dalam penggambaran atau sebarang kerja, pastikan teliti kerja tersebut terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk melaksanakannya.

 

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, bukan sahaja Palestin yang berhadapan dengan serangan musuh Islam, umat Islam di seluruh dunia juga turut menghadapi serangan yang sama tetapi berbeza di setiap tempat. Seperti di Malaysia, inilah salah satu kes yang cuba untuk memburukkan Islam dalam bulan Ramadan dan menjadikan agama sebagai tunggangan.

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin