Hamas Kecam Kenyataan Perdana Menteri Perancis

Rusydan Yusup | 27 Februari 2022, 9.05 PM

GAZA - Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengecam kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Perancis Jean Castex, di mana beliau telah mendakwa bahawa Baitul Maqdis yang dijajah Israel adalah "ibu kota abadi Yahudi”.

Kenyataan ini mencerminkan sikap berat sebelah secara terang-terangan terhadap penjajahan Israel dan bukti sokongan terhadap agenda perkauman dan dasar penjajahan Israel ke atas rakyat Palestin dan hak mereka yang telah dirampas. 

Dasar sedemikian ditolak dan dikutuk oleh semua norma, konvensyen dan resolusi antarabangsa dan tidak selari dengan pendirian Kesatuan Eropah, di mana Perancis merupakan anggota kesatuan tersebut.

Kenyataan ini juga memberi galakan kepada Israel untuk meneruskan lagi jenayahnya terhadap Baitul Maqdis yang merupakan kawasan suci bagi orang Islam..

Di samping itu, kenyataan ini mencerminkan dasar dwi standard yang jelas oleh kerajaan Perancis dalam pendekatannya ke arah memberikan keadilan kepada rakyat Palestin. Hal ini akan menyaksikan rakyat Palestin kekal komited terhadap hak mereka yang sah untuk bebas dari penjajahan, kembali pulang ke Palestin bagi yang berada di luar Palestin, dan hak menubuhkan negara merdeka dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya. - HAMAS

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin