Hamas Menempelak Tindakan Bahrain Melantik Duta ke Israel

Rusydan Yusup | 1 Sept 2021, 10.26 PM

Gerakan Pejuang  Islam Hamas menegaskan bahawa pelantikan duta besar Bahrain ke Israel adalah menunjukkan kesinambungan jenayah mereka dengan menandatangani perjanjian mengiktiraf negara haram Israel.

Jurucakap pergerakan itu, Hazem Qassem berkata dalam satu kenyataan media pada hari Rabu, bahawa pelantikan duta Bahrain ke Israel dibuat ketika rejim Israel masih meneruskan jenayahnya terhadap rakyat Palestin melalui sekatan, projek penempatan haram dan menodai tempat-tempat suci Umat Islam, menggambarkan sokongan yang jelas negara Bahrain dan penglibatan penuh dalam dasar dan jenayah rejim Israel di samping memenuhi naratif yang dibawa oleh Zionis. 

Beliau juga menambah: “Biarkan Israel sedar bahawa normalisasi dengan Bahrain hanya sekadar ilusi dan angan-angan untuk mengesahkan kewujudan mereka di Palestin.

Qassem menekankan bahawa rakyat Palestin akan meneruskan perjuangan mereka sehingga mereka mencapai matlamat mereka dengan berbekalkan kehendak dan semangat juang, serta berdasarkan kedudukan dan hak mereka yang sah. Rakyat Palestin juga tidak akan lupa dan tidak akan memaafkan mereka yang berada bersama-sama rejim Israel.

       Dalam masa yang sama, Qassem memberikan penghargaan kepada rakyat Bahrain yang menolak semua langkah normalisasi, dan yang berdiri teguh bersama-sama Palestin. - Shehab News

 

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin