Haniyeh Hubungi Ibu Hamil Yang Baru Dibebaskan Dari Penjara

Rusydan Yusup | 4 September 2021, 10.24PM

 

GAZA - Ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh telah menghubungi Anhar al-Deek pada petang Jumaat, tahanan yang baru dibebaskan oleh penjara rejim Israel.

 

Memuji ketabahan beliau, Haniyeh menegaskan bahawa isu tahanan akan kekal menjadi isu utama bagi pihak pejuang Palestin dan negara, dan akan meneruskan usaha bagi menjamin kebebasan semua tahanan dari penjara Zionis.

 

Nama Anhar al-Deek sebelum ini tular berikutan situasinya yang ditahan di penjara Israel dalam keadaan sedang sarat hamil.

 

Tentera Israel menahan Deek, 25, dari kampung Kufr Nima, kawasan barat bandar Ramallah, ketika sedang berada di tanah perkuburan keluarganya pada 8 Mac, ketika beliau hamil tiga bulan. Pegawai tentera Israel menuduh beliau cuba melakukan serangan menggunakan pisau.

 

Beliau turut memberitahu keluarganya bahawa beliau telah dipukul ketika ditahan walaupun sudah menjerit memberitahu mereka bahawa beliau sedang hamil tetapi tidak dipedulikan.

 

Anhar yang kini menunggu masa melahirkan anak dibenarkan keluar penjara dan dikenakan tahanan rumah dengan ikat jamin sebanyak 40 000 shekel, lebih kurang RM50 000.

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin