KEISTIMEWAAN MALAM LAILATUL QADR YANG WAJIB KITA TAHU

Malam Lailatul Qadr merupakan malam yang amat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Malam Lailatul Qadr ini juga merupakan malam yang diganjarkan dengan ganjaran kebaikan yang amat banyak buat mereka yang berjaya menemuinya.

 

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qadr:

 

“Pada malam itu (malam al-Qadar) turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar" [Surah al-Qadr 4-5]

 

Berkata Imam al-Qurtubi rahimahullah: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar".

 

Imam ad-Dahhaq rahimahullah berkata: “Allah swt tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan".

 

Kebanyakan ulamak mengatakan kelebihan malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah. Imam as-Syafie rahimahullah berkata:

 

مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ وَالصُّبْحَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا

 

“Barangsiapa yang menyaksikan (hadir) menunaikan solat Isyak dan Subuh pada malam al-Qadar maka dia telah mendapat bahagiannya daripada malam tersebut”. (Raudhah at-Tholibin)

 

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar.

 

 

Lailatul Qadar adalah satu malam yang istimewa dan penuh kemuliaan yang disediakan oleh Allah swt secara khusus untuk umat Nabi Muhammad saw sahaja. Jom kita berusaha mencari dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadah pada sepuluh malam terakhir, moga kita bertemu malam yang penuh kemuliaan ini serta beroleh rahmat dan keampunanNya. Aamiiin.

Sumber: islam.gov.my / Tadabbur Kalamullah 27 Ramadhan 1441H - Lailatul Qadar Malam Istimewa

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin