Kenyataan Hamas Sempena Sambutan Isra’ Mikraj

Rusydan Yusup | 28 Februari 2022, 1.49 PM

GAZA - Bersempena dengan sambutan Isra’ Mikraj pada tahun ini, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengeluarkan kenyataan khas yang merangkumi 5 kandungan penting:

Pertama: Menegaskan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan sebahagian daripada kepercayaan Muslim dan teras perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Israel yang tidak mempunyai tuntutan yang sah terhadap Palestin. Rakyat Palestin akan kekal komited terhadap hak mereka yang sah dan mempertahankannya melalui penentangan secara menyeluruh sehingga aspirasi mereka untuk memperoleh kebebasan dan hak kembali ke tanah air mereka tercapai.

Kedua: Menyatakan bahawa  hubungan dunia Arab dan Islam dengan Palestin, khususnya Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa adalah kekal berterusan. Hal ini telah terbukti sepanjang sejarah.

Ketiga: Hamas memberi amaran kepada Israel agar tidak meneruskan jenayah dan pencabulan mereka terhadap perkarangan Al-Aqsa dan Baitul Maqdis serta rakyat Palestin. Hamas juga menegaskan pendirian mereka mengecam sikap tidak bertindak dan berdiam diri pihak antarabangsa atas pencerobohan yang dilakukan, mereka mengulangi kenyataan bahawa percubaan Israel untuk memadam mercu tanda dan identiti Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa, serta mengubah fakta sejarah pasti akan menemui kegagalan.

Keempat: Hamas turut menyeru rakyat Palestin untuk terus memerangi rancangan Israel dan mempertahankan Baitul Maqdis dan perkarangan Al-Aqsa dengan segala cara yang mungkin. Mereka menggesa pemimpin, rakyat dan organisasi Arab dan Muslim untuk mengambil tindakan serius dalam menyokong Baitul Maqdis dan rakyat Palestin di Baitul Maqdis, pada semua peringkat dan dalam semua forum politik, diplomatik, media, amal dan kemanusiaan.

Kelima: Hamas memanjatkan doa agar para syuhada yang gugur ketika mempertahankan Masjid Al-Aqsa mendapat rahmat. Mereka juga memberi penghormatan kepada rakyat Palestin yang melindungi perkarangan Al-Aqsa dan menangkis percubaan Israel untuk mencemarkannya. Hamas juga mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam kempen Grand Fajr (Subuh Perdana) dan Minggu Antarabangsa Baitul Maqdis, bagi mewujudkan rasa perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin, negara-negara Arab dan Islam serta mencerminkan keazaman mereka untuk terus mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan segala cara yang mungkin.

Sambutan Isra’ Mikraj tahun ini disambut ketika rejim Israel meningkatkan serangan, pencerobohan dan pencabulan terhadap hak rakyat Palestin. Semoga Isra’ Mikraj tahun hadapan dapat disambut dengan kebebasan dari penjajahan dan kejayaan mendirikan negara merdeka Palestin yang berdaulat.

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin