Maghribi, Israel Tingkatkan Kerjasama Perdagangan

Mohd Qutaibah Bin Ismail | 22 Februari 2022, 12.39 PM

RABAT - Maghribi dan Israel pada Isnin lepas telah menandatangani perjanjian sektor ekonomi yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama perdagangan dua hala dan pelaburan bersama. 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Perindustrian dan Perdagangan Maghribi, Ryad Mazzour dan Menteri Ekonomi dan Industri Israel Orna Barbivai dalam lawatan yang dilakukan ke negara itu bermula hari Ahad yang lepas sehingga Rabu. 

Dalam kenyataan kepada media selepas menandatangani perjanjian tersebut, Mazzour berkata, "matlamat perjanjian itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan perdagangan seperti industri makanan, perubatan, pertanian, tekstil, industri automobil dan penerbangan". 

Menteri Ekonomi dan Industri Israel pula berkata bahawa, beliau bercita-cita untuk mengadakan Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Ahli Perniagaan setiap tahun antara kedua-dua negara tersebut. 

Tambahnya lagi, perjanjian itu juga bertujuan untuk mengusahakan penubuhan zon perindustrian di kedua-dua negara.

Dalam penulisan di akaun Twitternya, Barbivai berkata: "Saya bangga menandatangani perjanjian ekonomi di Maghribi hari ini (Isnin). Perjanjian ini menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara dan mendorong ke arah pengembangan ketara dalam perdagangan dua hala pada tahun-tahun akan datang". 

Pada masa yang sama akhbar Ibrani, Yedioth Ahronoth berkata bahawa antara syarat perjanjian tersebut adalah mengawal perdagangan antara kedua-dua negara dengan cara yang memudahkan penubuhan seminar bersama dan delegasi perdagangan untuk pengeksport dan pengimport, dan pembentukan jawatankuasa ekonomi untuk kedua-dua negara bersama  yang berusaha meningkatkan pelaksanaan peruntukan perjanjian itu.

Dalam konteks ini, Agensi Berita rasmi Maghribi melaporkan bahawa Menteri Ekonomi dan Kewangan Maghribi, Nadia Fattah Alaoui, mengadakan perbincangan pada hari Isnin dengan Orna Barbivai, di Rabat. 

Menteri Ekonomi Maghribi memuji kemajuan yang dicapai dalam perancangan mekanisme kerjasama ekonomi antara Maghribi dan Israel, selaras dengan peruntukan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada 22 Disember 2020.  

Bagi pihaknya, Barbivai memuji perkembangan berterusan hubungan dua hala antara Maghribi dan Israel. Menteri Israel itu mengulangi kehendak kerajaan negara haramnya untuk membina asas perkongsian strategik dengan Kerajaan Maghribi, yang akan mewujudkan dinamik yang membina dan kukuh untuk hubungan ekonomi dua hala. 

Pada 10 Disember 2020, Israel dan Maghribi mengumumkan penyambungan semula hubungan diplomatik antara mereka selepas  terhenti pada tahun 2000 berikutan tercetusnya intifada Palestin yang kedua. 

Pada hari yang sama, kerajaan Maghribi menandatangani deklarasi bersama dengan Israel dan Amerika Syarikat bersempena lawatan pertama delegasi rasmi Israel-Amerika ke ibu negara Maghribi, Rabat. - Shehab News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin