Mahkamah Israel Beku Kes Pengusiran 3 Keluarga Sheikh Jarrah

Ibrahim Azran | 16 Ogos 2021, 10.00 PM

SHEIKH JARRAH - Mahkamah Israel semalam membekukan keputusan pengusiran terhadap tiga keluarga Palestin di Sheikh Jarrah sehingga semua prosedur mahkamah berakhir.

“Hari ini penjajah membekukan keputusan pengusiran tiga keluarga dari Sheikh Jarrah iaitu Al-Dajani, Al-Dahudi dan Hammad sehingga semua prosedur mahkamah berakhir,” kata jawatankuasa persatuan keluarga Sheikh Jarrah dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kenyataan itu,  peguam keluarga terlibat pada 28 Julai 2021 lalu, Sami Irshee dan Hosni Abu Hussein memfailkan permohonan kepada mahkamah Israel untuk membekukan keputusan itu.

“Keputusan itu tidak akan menghilangkan ancaman yang dihadapi oleh penduduk Sheikh Jarrah dan kami akan terus mendapatkan sokongan masyarakat umum untuk bertahan dan mempertahankan Baitulmaqdis,” tambahnya.

Pada awal tahun ini, mahkamah Israel mengeluarkan arahan pengusiran kepada tiga keluarga tersebut pada 5 Ogos 2021 untuk memberikan laluan kepada pendatang haram Yahudi untuk menetap di sana.

Pendatang haram Yahudi mendakwa tanah Palestin adalah milik mereka sebelum 1948 yang ditandatangani kerajaan Jordan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. - Middle East Monitor

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin