MULAKAN RAMADAN DENGAN SEDEKAH YANG TERBAIK

Esok (13 April) merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam iaitu bermulanya bulan Ramadan, bulan yang penuh kemuliaan. Setelah kita berusaha bersedia sehabis baik menyambut bulan Ramadan, kini ia telah tiba untuk membuka ruang kita memohon keampunan, rezeki, keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

 

Namun, tidak cukup jika kita hanya meminta kepada Allah SWT tanpa memberi sebarang bantuan yang diniatkan kerana Allah SWT. Sedekah merupakan satu amalan yang tidak akan putus tali pahalanya sehingga seseorang itu meninggal dunia. 

 

Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.

Muslim, Sahih Muslim bi sharh al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Kitab wasiyyah, jld. 11, hlm.87.

 

Sedekah yang terbaik adalah apabila kita memberikan sedekah itu, kita tidak membicarakannya kepada orang lain, malah tidak digalakkan juga untuk kita memberitahu masyarakat jumlah sedekah yang telah kita berikan demi mengelak daripada sifat riak dan takabbur.

 

Dalam bulan Ramadan ini, jagalah sebaik mungkin diri khususnya dalam percakapan dan perbuatan. Mereka yang beriman sudah pasti akan menjadikan Ramadan kali ini Ramadan yang mampu membawa mereka ke jalan kebaikan.

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin