PBB Gesa Rejim Israel Henti Jenayah Terhadap Rakyat Palestin

Abiidah Fadzlan Shahidi | 20 Januari 2022, 7.45 AM

NEW YORK – Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland, hari ini menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan pengusiran sebilangan keluarga Palestin dari rumah yang mereka telah miliki selama beberapa dekad di Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis Timur. Tindakan tersebut dibimbangi akan berisiko mencetuskan kebangkitan yang kian meningkat daripada kalangan rakyat Palestin.

Penyelaras Khas PBB tersebut menggesa pihak berkuasa Israel untuk menamatkan pemindahan secara paksa dan pengusiran rakyat Palestin selaras dengan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa. Israel juga disarankan untuk meluluskan rancangan tambahan yang membolehkan masyarakat Palestin membina negara mereka secara sah dan menangani keperluan pembangunan mereka.

Perkara ini disampaikan Wennesland semasa ucapannya pada Taklimat Majlis Keselamatan PBB mengenai Situasi di Timur Tengah termasuk jenayah yang berlaku terhadap Palestin.

Beliau seterusnya menekankan tentang kemerosotan yang semakin teruk  melibatkan isu ekonomi, keselamatan dan politik di seluruh negara Israel. “Situasi fiskal Pihak Berkuasa Palestin terus kritikal, kestabilan institusinya diancam dan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyatnya juga turut terjejas”.

Beliau juga menyentuh mengenai aktiviti penempatan haram, operasi merobohkan dan pengusiran  yang berterusan dan menganggap segala rundingan dengan pihak rejim Israel telah gagal.

“Tanpa pendekatan realistik kerajaan Israel untuk menamatkan penempatan haram dan merealisasikan penyelesaian dua negara berdasarkan resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan perjanjian dilihat hanya menunggu masa sebelum menghadapi keruntuhan yang tidak dapat dipulihkan. Perkara ini berbahaya dan menuju ke arah ketidakstabilan,” katanya.

“PBB akan terus terlibat secara aktif, bersama rakan sejawatannya di Kuartet Timur Tengah dengan rakan serantau dan antarabangsa serta terus dengan pendirian agar pemimpin negara Israel dan Palestin berjaya mencapai penyelesaian konflik Palestin-Israel yang adil, komprehensif dan berkekalan,” ujar Penyelaras Khas PBB ketika membuat kesimpulan. - WAFA

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin