Tentera Zionis, Pendatang Yahudi Halang Kanak-kanak Palestin ke Sekolah

Abiidah Fadzlan Shahidi | 24 Februari 2022, 7.50 AM

Nablus - Puluhan pendatang haram Yahudi dengan perlindungan tentera rejim yang bersenjata lengkap telah menghalang akses pelajar Palestin ke sekolah mereka di kampung Al-Lubban Ash-Sharqiya di Nablus, Tebing Barat pagi semalam.

Sumber tempatan menyatakan bahawa perkara ini telah berlarutan untuk hari ketiga berturut-turut.

Penduduk tempatan kemudian memutuskan untuk berdepan dan membantah keganasan tentera rejim Israel dan pendatang haram Yahudi di kampung itu. Walau bagaimanapun, tentera rejim melepaskan bom dan peluru logam bersalut getah ke arah penduduk dan anak-anak mereka untuk menyuraikan mereka.

Kumpulan pendatang haram itu juga memprovokasi rakyat Palestin dengan menyanyi, menari dan melakukan ritual Talmud di bawah perlindungan tentera rejim.

Wartawan juga turut dihalang tentera rejim daripada mendokumentasikan serangan mereka terhadap penduduk kampung dan pelajar sekolah. Serangan tentera Israel terhadap pelajar Palestin dan penduduk kampung berkenaan meningkat sejak kebelakangan ini.

Al-Lubban Ash-Sharqiya menempatkan kira-kira 3,500 rakyat Palestin yang terletak 20 km ke selatan bandar Nablus di utara Tebing Barat.

Dua penempatan haram Israel, Eli dan Ma'ale Levona, terletak di tepi kampung dan dibina di atas tanah yang mempunyai pemilik.

Setiap petang, tentera Israel ditempatkan di pintu masuk kampung berhampiran lebuh raya utama antara Ramallah dan Nablus. Tentera rejim Israel yang berdekatan meronda dengan berjalan kaki apabila sekumpulan pelajar dari Lubban cuba mengambil laluan alternatif untuk pulang berikutan banyak pendatang haram Yahudi dan serangan tentera rejim.

Ibu bapa terpaksa menghantar anak pergi dan balik sekolah setiap hari dikhuatiri anak dicederakan atau ditangkap tentera rejim.

Murid-murid sekolah itu juga terpaksa mengambil jalan alternatif melalui padang kampung untuk pulang ke rumah ketika tentera Israel membuat rondaan di jalan utama.

Pada bulan Mei, seorang lelaki Palestin bernama Nidal Safadi terbunuh apabila pendatang haram Yahudi dan tentera Israel menyerbu kampung itu serta menembaknya sebanyak empat kali. - Quds news

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin