6 Cedera Termasuk Kanak-Kanak, Periuk Api Militan Houthi Dimerata Tempat

Zakwan Zainal | 12 Oktober 2021, 12.00 AM

YAMAN – 6 orang, termasuk 3 kanak-kanak cedera akibat daripada letupan periuk api yang ditanam oleh Militan Houthi di sepanjang laluan gurun dan lembah wilayah Marib dan al-Jawf, timur laut negara itu.

Pasukan Pemantau periuk api memaklumkan, 3 kanak-kanak tersebut, Abdul Rabb Hussin Krishan, Ghamdan Krishan dan Naji Husin Al-Masri terkena letupan itu di kawasan al-Mahjazah, daerah Sarwah, sebelah barat Marib.

3 lagi orang awam yang lain cedera apabila periuk api tinggalan militan Houthi meletupkan sebuah kenderaan milik Ahmad al-Sha’abi yang dinaiki oleh 9 orang awam yang melintasi laluan gurun di Daerah Khub al-Sha’af, sebelah timur wilayah al-Jawf.

Pemasangan periuk api ini telah meragut banyak nyawa orang awam, juga menyebabkan kematian ternakan penduduk serta kemusnahan harta benda mereka.

Satu laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran al-Jawf, mendedahkan dari tempoh Oktober 2018 sehingga Ogos 2021, sebanyak 910 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak telah terkorban dan tercedera akibat letupan periuk api ini termasuk 282 aduan kes kerosakan dan kerugian harta. Antaranya termasuk lah 25 buah rumah, 49 buah ladang, 97 buah kenderaan dan lain-lain lagi.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa militan Houthi masih giat menanam periuk api dan bahan letupan di wilayah-wilayah yang lain. - Al-Arabiya

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin