Filem AS Dokumentasi Pembunuhan 77 Kanak-kanak Palestin, Gesa Kerajaan Henti Bantuan Kepada Israel

Abiidah Fadzlan Shahidi | 30 Januari 2022, 5.45 AM

RAMALLAH  – If Americans Knew, sebuah organisasi tidak berteraskan keuntungan dari Amerika Syarikat yang berpangkalan di California Selatan telah mengeluarkan filem pendek yang mendokumentasikan pembunuhan 77 kanak-kanak Palestin oleh tentera rejim Israel pada 2021.

Filem itu merupakan sebahagian daripada kempen untuk menghentikan sokongan kewangan Amerika Syarikat terhadap penjajahan Israel. Filem yang menjelaskan berapa dan bagaimana ramai kanak-kanak Palestin telah dibunuh oleh tentera rejim itu telah dimuat naik di media sosial dan laman web organisasi tersebut.

If Americans Knew turut memaparkan perincian di dalam filem tersebut mengenai bantuan kewangan, ketenteraan dan kemanusiaan dengan jumlah yang banyak daripada Amerika Syarikat kepada Israel dan Palestin.

Organisasi itu menyatakan, "Semasa Tahun Fiskal 2020, Amerika Syarikat telah membantu Israel sekurang-kurangnya 10.5 juta dollar sehari dalam bentuk ketenteraan dan sifar dollar dalam bantuan ketenteraan kepada Palestin”.

If Americans Knew telah meminta Kongres Amerika Syarikat untuk menayangkan filem itu semasa mesyuarat jawatankuasa bertujuan mendidik orang ramai tentang pencabulan dan jenayah Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin. - WAFA

© All rights reserved 2024, Aman Palestin