Israel Roboh Premis Perniagaan Rakyat Palestin

Abiidah Fadzlan Shahidi | 18 Februari 2022, 7.35  AM

BAITUL MAQDIS – Pihak berkuasa rejim Israel semalam telah merobohkan premis perniagaan di kawasan kejiranan Baitulmaqdis Timur, Issawiya.

Menurut wartawan portal berita WAFA, polis dan kakitangan perbandaran rejim Israel menceroboh masuk dan mengepung kawasan Wadi al-Dam di situ sebelum jentolak merobohkan premis perniagaan milik keluarga Qassas.

Rejim Israel merobohkannya atas alasan ia dibina secara haram termasuk merobohkan rumah-rumah untuk menyekat peningkatan rakyat Palestin di Baitulmaqdis.

Pada masa yang sama, majlis perbandaran dan kerajaan haram itu membina puluhan ribu unit penempatan haram di Baitulmaqdis Timur untuk orang Yahudi dengan matlamat untuk mengimbangi keseimbangan demografi yang memihak kepada pendatang haram Yahudi di bandar itu.

Walaupun Baitulmaqdis Timur diiktiraf sebagai sebahagian daripada Wilayah Palestin di peringkat antarabangsa, namun rakyat Palesin dinafikan hak kewarganegaraan bahkan hanya diklasifikasikan sebagai penduduk berpermit yang boleh dibatalkan jika mereka berpindah dari bandar itu lebih dari beberapa tahun. Penafian hak tertakluk kepada penjajahan tentera rejim Israel sejak 1967.

Mereka juga didiskriminasi dalam semua aspek kehidupan termasuk perumahan, pekerjaan dan perkhidmatan, serta tidak dapat mengakses perkhidmatan di Tebing Barat kerana pembinaan tembok pemisah Israel.

Menurut laporan oleh kumpulan hak asasi manusia Israel B’Tselem, Mahkamah Tinggi Israel boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah perang kerana merampas harta rakyat Palestin di Kawasan C Tebing Barat.

Laporan Fake Justice dengan jelas menyatakan bahawa sokongan mahkamah terhadap dasar Israel adalah sama dengan sokongan untuk merampas hak dan pemindahan paksa rakyat Palestin juga merupakan satu jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa. - WAFA

© All rights reserved 2024, Aman Palestin