Israel Wajib Bertanggungjawab Atas Penderitaan Tahanan Mogok Lapar

Faris Zalani | 8 November 2021, 03.22 PM

PALESTIN - Gerakan Islam Hamas menganggap penderitaan yang dialami oleh tahanan Palestin yang menderita akibat protes mogok lapar di penjara Israel adalah tanggungjawab pihak tentera Israel dan pentadbiran penjara Israel sepenuhnya. 

Fawzi Barhoum, jurucakap Gerakan Hamas berkata dalam satu kenyataan akhbar, Gerakan Hamas mengecam sekeras-kerasnya usaha pihak pentadbiran penjara Israel yang cuba menghalang protes mogok lapar kerana mogok itu diadakan sebagai protes penahanan mereka tanpa pengadilan dan pembicaraan.

Fawzi berkata lagi, usaha dan kesetiaan yang ditunjukkan oleh peserta mogok lapar perlulah didokong oleh segenap lapisan masyarakat Palestin. Mereka harus menyokong perjuangan mereka dan menggembeleng segala usaha dan tenaga untuk membebaskan mereka dan menamatkan penderitaan mereka.

Beliau juga menyeru semua persatuan hak asasi manusia dan institusi kemanusiaan antarabangsa untuk sama-sama mengambil tindakan segera dalam usaha untuk menamatkan penderitaan para tahanan terutamanya mereka yang menyertai protes mogok lapar. - Shehab News

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin