Pertahankan Sheikh Jarrah Merupakan Kewajiban Negara dan Syarak

Rusydan Yusup | 2 November 2021, 10.20 PM

GAZA - Bekas Mufti Al-Aqsa, Syeikh Ikrima Sabri, menyeru penduduk Sheikh Jarrah menolak secara mutlak solusi yang dicadangkan oleh rejim Israel, dan menganggap tindakan menerima cadangan penyelesaian Israel ibarat menyerahkan negara kepada mereka. 

Syeikh Ikrima Sabri menegaskan bahawa menolak cadangan solusi tersebut merupakan kewajipan dari sudut kenegaraan dan syarak. Beliau berkata kepada penduduk Sheikh Jarrah, "kedudukan kamu lebih kuat kerana seluruh dunia mengetahui kisah Sheikh Jarrah”.

Sabri berkata, projek penempatan haram Yahudi dan pemilikan rejim Israel ke atas tanah Sheikh Jarrah akan membolehkan mereka mengepung Masjid Al-Aqsa dari sebelah Utara dan berusaha untuk mengepungnya dari sebelah Selatan seperti kejiranan Silwan.

Tambahnya lagi, sebarang langkah yang diambil oleh rejim Israel itu adalah bertujuan untuk mengkafirkan kota tersebut dengan menjadikannya ibu kota Yahudi di dunia dan bukannya sekadar ibu kota Israel. Beliau mengatakan bahawa usaha tersebut tidak akan dapat dicapai dengan izin Allah.

Beliau menegaskan juga bahawa Mahkamah Agung, seperti biasa, memerintah atau mencadangkan sebarang keputusan atau cadangan yang memihak kepada pihak Yahudi. Syeikh Ikrima menjelaskan bahawa cadangan solusi rejim Israel adalah bahawa keluarga Sheikh Jarrah mengiktiraf pemilikan tanah Sheikh Jarrah oleh penduduk haram Yahudi, dan sebagai balasan mereka memberikan perlindungan kepada keluarga Baitul Maqdis sebagai penyewa rumah di mana mereka berada. Ini merupakan fasa pertama.

Fasa kedua pula, setelah ibu bapa penduduk Sheikh Jarrah tersebut meninggal dunia, perlindungan itu tidak lagi diberikan. Sheikh Sabri menghargai pendirian penduduk Sheikh Jarrah yang menolak sebarang usaha penempatan pendatang haram Yahudi di perkampungan tersebut. Beliau turut memuji keteguhan dan kesatuan prinsip mereka, sambil menekankan bahawa pendirian terhormat mereka membuktikan hak mereka ke atas rumah mereka.

Beliau menambah lagi, "penduduk  di Baitul Maqdis enggan menerima cadangan solusi tersebut dan menganggap ia tidak adil kepada mereka dan berkeras untuk membincangkan isu pemilikan tanah dan pendatang haram Yahudi tidak sepatutnya mempunyai sebarang pemilikan di dalamnya. Sekiranya kumpulan Yahudi memiliki tanah tersebut, mereka akan segera mengosongkan rumah-rumah tersebut sejak 1972, tetapi mereka tidak dapat membuktikan pemilikan mereka”.

Yayasan Antarabangsa Al-Quds telah memberi amaran supaya tidak meluluskan keputusan solusi yang dicadang rejim  Israel, yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi pihak berkuasa Israel.  Beliau menambah bahawa menerima keputusan tersebut adalah berlawanan dengan ijma’ (kesepakatan) kebangsaan, kenegaraan, dan syarak serta merosakkan kesatuan. - Wakalah Shehab

© All rights reserved 2024, Aman Palestin