Remaja Syahid Paparan Utama Akhbar Palestin

Mohd Qutaibah Ismail | 15 Februari 2022, 03.18 PM

JENIN - Mohammad Abu Salah menjadi paparan utama akhbar harian Arab Palestin berikutan syahid ditembak semasa serbuan ganas tentera rejim Israel ke sebuah perkampungan Tebing Barat ahad lalu.

Agensi berita Al-Hayat al-Jadida, al-Quds dan al-Ayyam berkata bahawa beribu-ribu rakyat Palestin menyertai perarakan pengebumian Mohammad Abu Salah, 17, dari kampung al-Yamoun yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya di kepala. Beliau ditembak rejim Israel semasa serbuan tentera besar-besaran ke bandar Silat al-Harithiya di Jenin, Tebing Barat.

Laporan mengenai tindakan tentera Israel meletupkan rumah tahanan Mahmoud Ghaleb Jaradat di bandar Silat al-Harithiya, barat laut Jenin juga dimuatkan dalam akhbar.

Keganasan dan serangan pendatang haram Yahudi yang memusnahkan kebun pertanian dan tanaman di kampung Shufa, tenggara bandar Tulkarm juga dilaporkan. 

Menurut akhbar itu lagi, pendatang haram Yahudi turut merosakkan sembilan kenderaan Palestin di kampung Jinsafut, timur bandar Qalqilya.

Akhbar harian melaporkan bahawa ketegangan terus memuncak di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang terjajah apabila pendatang haram Yahudi ekstrim berhaluan kanan yang diketuai oleh ahli parlimen fasis Israel, Itamar Ben Gvir datang mencetuskan provokasi terhadap penduduk di situ sehingga mengakibatkan empat rakyat Palestin cedera.

Tentera rejim Israel juga bertindak merobohkan bangunan milik rakyat Palestin yang masih belum siap di bandar al-Bireh bersebelahan dengan Ramallah. - WAFA

© All rights reserved 2024, Aman Palestin