Sheikh Jarrah Terus Dikepung

Abiidah binti Fadzlan Shahidi | 18 Februari 2022, 6.10 AM

BAITUL MAQDIS – Tentera rejim Israel semalam telah hampir mengenakan sekatan penuh di kejiranan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis susulan berpuluh-puluh rakyat Palestin tempatan dan aktivis keamanan di kawasan kejiranan itu diserang oleh tentera rejim.

Wartawan berita WAFA melaporkan bahawa polis rejim Israel menyerang dan mencederakan ramai rakyat Palestin dan aktivis keamanan di luar rumah keluarga Salem yang berhadapan dengan pengusiran paksa rejim Israel.

Tambahnya lagi, paramedik yang cuba memberikan pertolongan cemas kepada mangsa yang cedera juga dilarang masuk ke kawasan itu.

Ketegangan terus memuncak di kawasan kejiranan sepanjang minggu lalu apabila pendatang Yahudi ekstrim berhaluan kanan yang diketuai ahli parlimen fasis Israel, Itamar Ben Gvir menubuhkan pejabat di kawasan kejiranan sehingga mencetuskan provokasi dan konfrontasi.

Ben-Gvir merupakan ketua parti Kuasa Yahudi yang merupakan sebahagian daripada pakatan politik Zionisme Agama yang menyokong pengusiran rakyat Palestin serta mentadbir Israel mengikut teks Taurat.

Pada Ahad lalu, Ben-Gvir membuka pejabatnya di atas sebidang tanah milik keluarga Salem yang dirampas sekumpulan pendatang haram Yahudi bulan lalu.

Susulan tindakan itu, berpuluh-puluh pendatang haram Yahudi menyerbu kawasan kejiranan pada tengah malam lalu melontar batu ke arah rumah penduduk Palestin dan merosakkan kereta.

Penduduk tempatan berkata kepada agensi Anadolu bahawa pendatang haram Yahudi menceroboh rumah keluarga Salem dan menyerang wanita serta kanak-kanak dengan semburan lada.

Ketika ini, 37 keluarga Palestin tinggal di Sheikh Jarrah, enam daripada mereka akan berdepan dengan pengusiran paksa. Sejak 2020, mahkamah rejim Israel telah mengusir 13 keluarga Palestin di kejiranan tersebut.

Kawasan itu menjadi tumpuan protes dan aktiviti solidariti tahun lalu melibatkan rakyat Palestin dan anti-penjajahan Israel serta aktivis antarabangsa. - WAFA

© All rights reserved 2024, Aman Palestin