Sidang Kemuncak Afrika Bincang Pengusiran Israel Daripada Pemerhati Kesatuan Afrika

Abiidah Fadzlan Shahidi | 28 Januari 2022, 8.35 AM

ETHIOPIA - Usaha Algeria untuk memasukkan isu pengusiran Israel daripada Kesatuan Afrika dalam agenda sidang kemuncak itu dijadualkan akan dibincangkan pada 5 Februari depan menurut pegawai diplomatik Algeria kepada sumber portal Al-Araby Al-Jadeed.

Mesir dan Tunisia turut menyokong usaha Algeria yang mewakili negara Arab, manakala Afrika Selatan mengetuai usaha benua itu dari negara bukan Arab. Pegawai Algeria itu menambah bahawa negaranya masih menyelaraskan kesepakatan dengan negara-negara Afrika dan Arab yang menjadi anggota kesatuan itu demi mencapai matlamat menarik balik status pemerhati yang telah diperoleh Israel melalui keputusan pentadbiran unilateral di bawah tanggungjawab seorang pegawai diplomasi Kesatuan Afrika.

Pada 3 Ogos lalu, kedutaan tujuh negara Arab yang menganggotai Kesatuan Afrika di Ethiopia, iaitu Algeria, Mesir, Comoros, Tunisia, Djibouti, Mauritania dan Libya telah menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki, di mana mereka mengesahkan bantahan mereka terhadap keputusannya menerima Israel sebagai ahli pemerhati Kesatuan Afrika. 

Kesatuan Afrika menuntut agar keputusan itu dimasukkan dalam perbincangan kerana kemasukan Israel sebelum ini tidak dibincangkan mengikut sistem kesatuan serta tiada pertimbangan atau perundingan dibangkitkan antara ahli-ahli Kesatuan Afrika. Hal ini menunjukkan terdapat penyalahgunaan prosedur dan politik oleh pihak tertentu.

Algeria, Afrika Selatan dan 24 negara lain mengetuai kempen dalam kesatuan untuk mendesak agar semakan unilateral keputusan yang diambil oleh Pesuruhjaya Kesatuan Moussa El-Feki Julai lalu, untuk memberikan status pemerhati Israel dalam kesatuan itu. 

Oktober lalu, majlis eksekutif kesatuan bersetuju menyerahkan keputusan untuk semakan. Perbincangan itu diadakan ketika pertemuan para menteri luar negeri yang diadakan pada bulan yang sama. Akhirnya dalam mesyuarat terakhir, mereka telah memutuskan untuk mengemukakan fail ke sidang kemuncak yang dijangka akan memutuskan untuk menarik balik status pemerhati daripada Israel, terutamanya berdasarkan konsensus negara-negara utama Afrika, termasuk Algeria, Mesir, Nigeria dan Afrika Selatan.

Sepanjang minggu lalu, Kementerian Luar Ethiopia menghantar surat kepada negara-negara anggota Kesatuan Afrika untuk memaklumkan mereka tentang tarikh sidang kemuncak di Addis Ababa dengan turut menafikan percubaan yang dibuat untuk memindahkan sidang kemuncak itu ke luar Ethiopia kerana masih mempunyai bidang kuasa. - Shehab News

© All rights reserved 2024, Aman Palestin