Tahanan Palestin Mogok Lapar, Hilang Berat Badan 30 kilogram

Faris Zalani | 20 Oktober 2021, 02.50 PM

PALESTIN - Seramai enam orang tahanan Palestin meneruskan mogok lapar mereka kerana membantah penahanan tanpa bicara keatas mereka. Mereka mengalami kemerosotan kesihatan dan menderita akibat dengan keletihan yang dahsyat, kepenatan, pening kepala dan kehilangan berat badan yang melampau akibat kekurangan cecair dalam badan mereka.

Tahanan yang mengadakan mogok lapar paling lama adalah Kayed Fasfous. Beliau sudah kehilangan berat badan sebanyak 30 kilogram akibat mogok lapar selama 97 hari. Manakala seorang lagi tahanan, Miqdad Qawasmi telah bermogok lapar selama 90 hari. 

Kesihatan Qawasmi mula merosot dan beliau sudah kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram. Kini beliau ditempatkan di pusat perubatan Kaplan. Keluarga Qawasmi berkata, beliau sudah mengalami kehilangan memori ingatannya dan doktor Israel yang bertugas di hospital diugut untuk memaksa Qawasmi makan dan menghentikan mogok laparnya.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi membekukan penahanan Qawasmi dan Fasfous buat sementara waktu bagi memberikan laluan kepada proses rawatan. 

Keputusan mahkamah untuk membekukan penahanan mereka bagi memberi laluan kepada rawatan menjadikan pihak pentadbiran penjara berlepas tangan dan tidak lagi bertanggungjawab atas nyawa mereka. 

Qawasmi dan Fasfous dilaporkan berkata bahawa mereka tekad akan meneruskan mogok lapar sehingga mereka dibebaskan dari penjara.

Empat tahanan lain yang mengadakan protes mogok lapar ialah Alaa Al-A’raj, 73 hari, Hisham Abu Hawash, 64 hari,  Shadi Abu Akaer, 56 hari, dan Ayyad Harimi, 27 hari.

Kini hampir 40 orang tahanan sudah mula mengadakan protes mogok lapar sejak tahun 2021 kerana tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara yang dikenakan ke atas mereka.

Penahanan yang tidak sah dibawah undang-undang antarabangsa itu walau bagaimanapun tetap dilakukan oleh pihak penjajah Israel untuk terus menakut-nakutkan rakyat Palestin. Mereka sudah menahan lebih ribuan rakyat Palestin dengan tempoh tahanan selama berbulan-bulan dan bertahun tanpa mereka ketahui sebab mereka ditangkap, bilakah mereka akan dibebaskan, dan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya daripada peguam-peguam mereka.

Maka, protes mogok lapar ini adalah salah satu cara penentangan secara halus untuk mempertahankan hak mereka dan sebagai tindak balas kepada polisi penjara yang tidak berlaku adil kepada mereka.

Buat masa ini, terdapat seramai 4650 penduduk Palestin yang ditahan di penjara Israel.  Daripada jumlah itu, 520 orang ditahan tanpa bicara. Selain itu terdapat juga 200 orang kanak-kanak dan 39 orang wanita yang menjadi tahanan rejim Israel. - Quds News Network

 

© All rights reserved 2024, Aman Palestin