22 Cedera dalam Pertempuran di Tebing Barat

Mohd Qutaibah Ismail | 12 Februari 2022, 12.58 PM 

TEBING BARAT - Sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin cedera akibat serangan tentera Israel semalam manakala sebilangan mengalami sesak nafas akibat tersedut gas pemedih mata di satu pertempuran dengan tentera rejim Israel di Kampung Beita, Beit Dajan dan Kafr Qaddum di utara Tebing Barat.

Menurut sumber tempatan, 10 orang awam Palestin cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di Kafr Qaddum akibat tembakan peluru getah ketika tentera rejim Israel menyerang rakyat Palestin di perkampungan tersebut. Kanak-kanak tersebut dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Di Beita, tentera rejim  Israel melepaskan peluru hidup, peluru getah, bom tangan dan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin lalu mencederakan seorang lelaki dengan peluru hidup dan tiga lagi dengan peluru getah.

Tentera rejim Israel juga menyerang empat wartawan dengan kejam semasa membuat liputan mengenai pertempuran di Beita, malah seorang daripada mereka dikejarkan ke hospital akibat dipukul.

Sementara itu, lapan rakyat Palestin cedera akibat tembakan peluru getah semasa pertempuran di kampung Beit Dajan. Kes mangsa terhidu gas pemedih mata adalah antara berita yang banyak dilaporkan semalam.

Selama hampir sembilan bulan, rakyat Palestin dari Beita dan perkampungan berdekatan membantah hampir setiap hari terhadap pembinaan penempatan haram Yahudi, Evaytar, di gunung Jabal Sabih, bersebelahan dengan kampung itu.

Beberapa rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera semasa pertempuran sepanjang tempoh yang dilaporkan. - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin