4 Cedera, Sheikh Jarrah Terus Dikepung Israel

Mohd Qutaibah Ismail | 15 Februari 2022, 02.44 PM

BAITUL MAQDIS - Empat rakyat Palestin cedera akibat satu pertempuran antara penduduk Palestin dengan tentera rejim Israel dan pendatang haram Yahudi di kejiranan Sheikh Jarrah petang semalam.

Sumber tempatan melaporkan bahawa tentera rejim Israel menyerbu kawasan kejiranan lalu menyerang penduduk dan penyokong mereka secara kejam dengan menggunakan pemukul belantan dan menyembur gas lada ke arah mereka.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata kumpulan mereka berjaya merawat empat orang awam yang cedera di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah akibat serangan tentera rejim Israel tersebut.

Wakil dari kumpulan itu menjelaskan bahawa salah seorang yang cedera adalah jurugambar Al-Maqdisi, Youssef Masouda. Beliau dipukul dengan pemukul belantan ketika dia membuat liputan dan tiga yang lain cedera disembur gas. Dua orang dari mereka telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Tentera rejim Israel juga menahan dua pemuda dan seorang remaja lelaki dari kawasan kejiranan, selepas mereka dipukul dengan teruk. Jamal Khaled Al-Husseini, 22 tahun, turut ditangkap selepas tentera rejim Israel menyerbu dan menggeledah rumahnya di kawasan kejiranan.

Hari ini adalah hari kedua tentera rejim Israel mengepung kawasan kejiranan tersebut.

Berpuluh-puluh anggota tentera rejim itu memasang dinding besi dan pita merah di jalan utama dan jalan persimpangan sehingga menghalang laluan penduduk Palestin pulang ke rumah mereka. Aktivis yang membantah juga dihalang dari memasuki tempat kejadian. - Shehab News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin