5 Keluarga Palestin Menang Lawan Arahan Pengusiran oleh Tentera Israel di Mahkamah

Abiidah Fadzlan Shahidi | 13 Januari 2022, 9.55 AM

RAMALLAH – Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Haram memaklumkan bahawa mereka berjaya memperoleh injunksi mahkamah Israel untuk menghalang tentera rejim Israel mengusir lima keluarga dari rumah mereka atau merobohkan khemah mereka di Khirbet Ibziq, Utara Lembah Jordan.

Penasihat undang-undang Suruhanjaya, Ayed Marrar menjelaskan bahawa injunksi itu membabitkan penempatan lima keluarga yang telah dirobohkan pada akhir Disember lalu dan dipaksa keluar dari rumah mereka beberapa kali oleh tentera rejim Israel dengan alasan untuk menjalankan latihan ketenteraan di kawasan itu.

Injunksi itu telah melarang tentera daripada memaksa keluarga keluar dari rumah mereka serta merobohkan atau merampas khemah kediaman mereka.

Lima keluarga terlibat telah menderita sejak sebulan lalu sehingga awal bulan ini akibat latihan berterusan tentera Israel di tanah mereka dan di antara rumah mereka. Mereka dihalau keluar dari rumah mereka beberapa kali, selain dirobohkan khemah serta kemudahan mereka dan memusnahkan puluhan hektar tanah mereka yang ditanam dengan tanaman tadahan hujan semasa latihan tentera rejim Israel. - WAFA

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin