Ahli Parlimen Israel Cetus Provokasi Di Syeikh Jarrah

Abiidah Fadzlan Shahidi | 24 Februari 2022, 7.30 AM

BAITUL MAQDIS – Itamar Ben-Gvir, ahli parti sayap kanan Israel dan ahli parlimen Knesset Israel yang fasis telah, kembali ke kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dalam tempoh kurang 24 jam untuk mencetuskan provokasi dan keganasan selepas mahkamah Israel membekukan perintah pengusiran keluarga Salem dari rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Pembekuan perintah keluarga tersebut diumumkan mahkamah semalam yang sepatutnya berkuat kuasa bulan hadapan berikutan rayuan oleh keluarga berkenaan.

Perintah pengusiran yang bertujuan untuk menyerahkan rumah dan tanah keluarga kepada pendatang haram Yahudi mencetuskan protes meluas di kawasan kejiranan. Pengusiran dimulakan dengan tindakan jahat Ben-Gvir dengan menubuhkan sebuah pejabat sementara minggu lalu di depan pintu rumah keluarga Salem.

Penduduk Palestin di kawasan kejiranan dan penyokong sentiasa berjaga-jaga untuk melindungi keluarga Salem daripada serangan oleh pendatang haram Yahudi. Mereka sering berhadapan dengan kecederaan oleh serangan polis yang melindungi pendatang haram Yahudi serta memberi mereka ruang untuk terus hadir sambil memasang penghadang dan menutup jalan untuk memastikan penduduk Palestin keluar dari kawasan berkenaan.

Wartawan WAFA melaporkan bahawa polis menyerang dua aktivis Palestin semalam, seorang daripadanya berjalan menggunakan tongkat telah dibawa ke hospital dan aktivis yang kedua telah ditahan. - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin