Ceroboh Syeikh Jarrah, Hamas Beri Amaran Keras Kepada Israel

Faris Zalani | 16 Februari 2022, 2.41 PM

GAZA - Ahli biro politik Hamas, Zaher Jabbarin memberi amaran kepada tentera rejim Israel berikutan pencerobohan yang berterusan dan pencabulan hak asasi manusia di Sheikh Jarrah dan penahanan rakyat Palestin di penjara Israel.

“Jika tentera Israel melampaui batas lagi, maka Israel akan binasa,” ucap beliau ketika ditemuramah wartawan agensi berita Mayadin semalam.

Beliau menambah lagi, “Peperangan Saif Al-Quds sebelum ini adalah simulasi kepada peperangan yang akan membebaskan Palestin. Peperangan tersebut merupakan penyelarasan kepada perisikan pejuang Palestin.”

Berkenaan dengan tahanan Palestin di penjara Israel, Jabbarin menyatakan bahawa pihak penjara Israel telah menangguhkan perjanjian penukaran tahanan selama 7 tahun. Bagi pihak Hamas, mereka tidak akan menutup isu ini sehingga semua tahanan Palestin dibebaskan.

Beliau menegaskan bahawa seluruh rakyat Palestin akan bangkit bersama dengan menggunakan segala cara demi membebaskan tahanan mereka daripada penjara. “Kami tidak akan berputus asa berkorban untuk membebaskan tahanan dan tawanan,” ucap beliau. - Shehab News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin