Hamas Gesa PA Bertanggungjawab Terhadap Pembunuhan Aktivis Politik Palestin

Rusydan Yusup | 27 Februari 2022, 9.35 PM

GAZA - Berikutan pendedahan mengenai butiran mengerikan pembunuhan aktivis politik Palestin, Nizar Banat dalam program Tip of the Iceberg oleh Al-Jazeera, jurucakap Hamas Abdel Latif al-Qanoa telah menggesa Pihak Berkuasa Palestin (PA) bertanggungjawab.

Beliau berkata, “memandangkan Hamas menyatakan solidariti sepenuhnya dengan keluarga Banat dan menyokong usaha mereka untuk membawa pihak yang terlibat dalam pembunuhannya ke muka pengadilan, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memperbaharui gesaannya agar Pihak Berkuasa Palestin (PA) bertanggungjawab terhadap semua pihak yang terlibat dalam jenayah ini dan berusaha mendapatkan keadilan, bukannya mengadakan perbicaraan wayang untuk membebaskan atau menutup kesalahan penjenayah”.

Penemuan itu mendedahkan secara mendalam mengenai jenayah yang dilakukan terhadap seorang warga Palestin yang tidak melakukan sebarang kesalahan kecuali meninggikan suara menentang rasuah yang berleluasa di seluruh institusi PA dan menuntut kedaulatan undang-undang diperkukuh.

Pembunuhan yang disengajakan terhadap Banat tidak boleh dianggap sebagai kesilapan yang tidak disengajakan oleh individu yang melampaui batasan tugas mereka seperti yang didakwa oleh pihak keselamatan PA.

Perkara ini merupakan jenayah yang mencerminkan bahawa pihak keselamatan PA telah melampaui batas dalam berinteraksi dengan warga Palestin di Tebing Barat dan melanggar nilai kemanusiaan dan moral. - Agensi

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin