Hamas: Israel Tidak Akan Dibiarkan Tanpa Hukuman

Rusydan Yusup | 14 Februari 2022, 22.16 PM

GAZA - Ahli Biro Politik Hamas, Izzat Al-Rishq, menegaskan bahawa jenayah yang dilakukan rejim Israel dan pendatang haram Yahudi tidak akan terlepas daripada dikenakan hukuman.

Al-Rishq menegaskan bahawa perbuatan mereka merobohkan rumah rakyat Palestin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan yang hanya akan meningkatkan kemarahan rakyat Palestin dan kesungguhan mereka untuk bertahan dan meneruskan penentangan.

Beliau turut memberi penghormatan kepada para pemuda yang mempunyai semangat melawan dan berani menghadapi jenayah rejim Israel di Baitul Maqdis, Sheikh Jarrah, Tebing Barat, Jenin, dan Seilat al-Harithiya.

Al-Rishq berkata, “Peningkatan penentangan dalam semua bentuk adalah tindak balas terbaik terhadap rejim Israel dan jenayah pendatang haram Yahudi.”

Al-Rishq menyeru masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dengan mengutuk jenayah yang dilakukan rejim Israel dan memberikan tekanan untuk menghentikan keganasan mereka terhadap rakyat Palestin. - HAMAS

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin