Hentikan Penjajahan Israel - Presiden Abbas

Abiidah Fadzlan Shahidi | 18 Februari 2022, 6.47 AM

RAMALLAH – Presiden Mahmoud Abbas menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan sekali-kali menerima sebarang tindakan unilateral yang dilakukan oleh rejim Israel selaku penjajah bahkan rejim perlu menghentikan semua tindakan tersebut.

Bercakap pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PLO khamis lalu di ibu pejabat presiden di Ramallah, beliau mengulangi gesaan untuk menamatkan penjajahan Israel selaras dengan resolusi legitimasi antarabangsa.

Presiden Abbas berkata, pentadbiran AS perlu melaksanakan apa yang dijanjikan oleh Presiden Biden dan Setiausaha Negara AS Blinken mengenai pembukaan semula Konsulat AS di Baitulmaqdis Timur serta menghalang rejim Israel daripada melakukan tindakan unilateral, khususnya pembinaan penempatan haram Yahudi dan perobohan rumah rakyat Palestin.

Beliau juga menggesa pentadbiran AS untuk mengaktifkan Kuartet Antarabangsa dan menghidupkan semula gerakan politik yang membawa kepada persidangan keamanan antarabangsa di Timur Tengah di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan atas dasar penyelesaian dua negara. - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin